malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Memahami tawakal juruterbang, mencari tenang penumpang
ADS

Sesiapa yang gemar menonton siri televisyen Air Crash Investigation (ACI) pasti meminati buku ini.

Jika menonton ACI membuatkan kita berasa berdebar-debar dan cemas setiap kali menaiki kapal terbang, buku ini pula memberi perspektif yang berbeza.

Kesaksian Seorang Pilot membawa pembaca berasa lebih tenang dan bertawakal setiap kali menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara itu.

Buku ini memaparkan sejumlah kisah yang dihadapi juruterbang Muslim ketika berhadapan dengan gangguan teknikal mahupun gangguan alam ketika mengendalikan pesawat itu.

Apa yang lebih menarik, buku ini memaparkan bagaimana juruterbang sentiasa saja meletakkan Allah dan bergantung penuh pada kekuasaan Maha Berkuasa ketika mengendalikan pesawat sejak detik awal.

Ada apa dengan doa naik kenderaan seperti yang selalu dimulakan oleh penerbangan Saudi Air?

Sebelum ini kita mungkin berasakan, adalah perkara biasa untuk membaca doa menaiki kenderaan.

Namun selepas membaca buku ini dan menghayati amalan yang dilakukan oleh juruterbang ketika mengendalikan pesawat udara, barulah kita akan lebih memahami makna sebenar di sebalik doa tersebut.

"Maha suci Allah yang memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedangkan sebelum ini kami tidak berupaya menguasainya, dan kepada Engkau jualah kami akan kembali."

Melalui pengalaman beberapa juruterbang, buku ini memberi kisah secara mendalam mengenai sistem dan mesin yang berfungsi untuk menerbangkan sesebuah pesawat udara yang merupakan inovasi hebat manusia.

Namun manusia tidak boleh mendabik dada kerana jika Allah tidak mendatangkan ilham kepada manusia dan jika Dia tidak membenarkan mesin itu berfungsi, pasti kenderaan terbabit tidak mungkin dapat bergerak.

Inilah akidah paling benar iaitu dengan pergantungan sepenuhnya secara kepada Allah SWT dan ia dipaparkan oleh juruterbang dalam buku ini.

Kesaksian Seorang Pilot juga menjelaskan makna yang begitu mendalam pada kalimah "La hawla wala qu wata illah billah" dan "Innalillahi wa inna ilahi rojiun" yang sering diulang-ulang juruterbang setiap kali ditimpa dugaan di udara.

Buku ini kuat untuk membawa kita bermuhasabah tentang keimanan diri kita, apakah kita sudah benar-benar mengakui kekuasaan Allah dan apakah kita benar-benar meletakkan pergantungan penuh kepada-Nya.

Semua juruterbang Islam disarankan memiliki buku ini.

Tajuk: Kesaksian Seorang Pilot - Menguak Fakta Kekuasaan Sang Pencipta

Penulis: Kapten Pilot Anas Al-Qauz

Penerbit: Darus Sunnah

Terbit: 2012

Tebal: 354 halaman


NOR RAIHAN ABU BAKAR Bekas wartawan yang kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka.

Lihat Komen