malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Tayangan Beauty and The Beast ditangguh
Diterbitkan:  Mar 13, 2017 5:02 PM
Dikemaskini: Mar 14, 2017 2:48 AM
ADS

Tarikh penayangan filem terbaru keluaran Disney, Beauty and The Beast, yang telah mencetuskan kontroversi di beberapa buah negara telah ditangguhkan tayangannya di pawagam-pawagam tempatan.

Filem berkenaan pada asalnya dijadual ditayangkan pada 16 Mac, tetapi ditangguhkan disebabkan oleh 'semakan dalaman', kata pengedar filem The Walt Disney Co (Malaysia) Sdn Bhd dalam satu kiriman e-mel.

"Tarikh tayang filem ditangguhkan dan kami sedang mengkaji tarikh tayangan baru," kata seorang jurucakap Walt Disney Malaysia kepada Malaysiakini.

Tiada sebab lanjut diberikan berhubung perkara itu dan tiada tarikh baru tayangan dinyatakan.

Tinjauan Malaysiakini mendapati jadual tayangan bagi filem itu dikeluarkan daripada aplikasi mudah alih oleh pawagam-pawagam utama.

Tidak jelas mengapa tarikh tayangan filem itu ditangguhkan tetapi dipercayai ia ada kaitan dengan watak gay dalam filem berkenaan.

Dibintangi Emma Watson sebagai Belle, Dan Stevens sebagai The Beast dan Luke Evans sebagai Gaston, Beauty And The Beast adalah penghasilan semula filem animasi klasik Disney, yang menjadi filem animasi pertama dicalonkan untuk filem Terbaik Oscar pada 1991.

Filem ini telah mencetuskan kontroversi selepas pengarahnya Bill Condon berkata bahawa Le Fou, yang dilakonkan oleh Josh Gad, membawakan watak gay dalam filem tersebut.

Akibatnya, Rusia mengenakan sekatan ke atas filem itu dan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dilarang daripada menontonnya.

Sebuah pawagam pandu lalu di Alabama, Amerika Syarikat, juga mengharamkan filem itu daripada ditayangkan kerana watak gay.

 

Lihat Komen