malaysiakini logo
story-image
ADS

Tajuk buku ini nyata mudah menggugat.

Akal - seperti yang kita maklumi - adalah anugerah terhebat yang dikurniakan Allah kepada manusia sehingga ia menjadi sempadan membezakan manusia dengan haiwan.

Islam pula tidak didatangkan untuk orang bodoh atau orang gila melainkan manusia yang sentiasa berfikir dan menggunakan akal fikiran semaksimumnya.

Begitupun, akal tidak boleh berdiri sendiri. Bahkan akal amat memerlukan dalil syarie iaitu al-Quran dan hadis sebagai penerang jalan.

Lantaran itu tajuk buku ini membuatkan kita tertanya-tanya, dari sudut apakah manusia membodohkan akal yang dikurniakan Allah kepadanya?

Kita juga menjadi terfikir - sejauh manakah manusia telah mengambil ringan dan memperlekeh kehebatan akal sendiri lantas menjadikan diri mereka keliru dan celaru sehingga bertindak membodohkan akal?

Buku setebal 179 halaman ini sebenarnya adalah koleksi tanya jawab mengenai hal-hal yang berkaitan dengan bab fikah, hadis, tokoh serta perkara-perkara umum yang melingkari fikiran dan kehidupan masyarakat Melayu Islam di negara ini.

Tidak ikut semberono

Antara persoalan fikah yang dibincangkan, termasuk sama ada boleh atau tidak menyambut maulidur rasul, batal atau tidak wuduk jika pasangan suami isteri bersentuhan dan fadilat air bacaan Yasin.

Sementara dalam bab umum pula perbincangan menyentuh mengenai persoalan Wahabi, di mana Allah berada serta sejauh mana orang Islam boleh bersandar pada amalan orang lain untuk manfaat diri sendiri.

Bagi sesetengah pembaca, hujah-hujah yang dikemukakan oleh pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) ini mungkin menggoncang perasaan kerana sebahagian daripadanya bertentangan dengan kepercayaan dan amalan yang lama diwarisi dan menjadi tradisi turun temurun.

Begitupun emosi bukanlah sesuatu yang bijak untuk disandarkan oleh orang yang berakal. Tradisi juga bukan sesuatu yang cerdik untuk dipertahankan sekiranya ia bertentangan dengan syariat.

Di sinilah pengarang mengajak kita menggunakan akal sebaik mungkin kerana beliau tidak berhujah secara dangkal melainkan mengemukakan hujah-hujah berlandaskan al-Quran dan sunnah.

Buku ini sangat signifikan sebagai bahan rujukan kerana 61 persoalan yang dibincangkan adalah isu-isu yang seringkali bermain-main di fikiran umat Islam yang mencari kebenaran dalam beragama.

Ia sedikit sebanyak membuka minda kita untuk lebih lunak dalam berhujah, lebih ikhlas mencari ilmu dan tidak mengikut secara semberono atau bertaqlid pada mana-mana ulama atau guru agama secara melulu.

Ketinggian ilmu yang ada dalam buku ini sedikit sebanyak membenarkan hadis ke-336 dalam Sunan Abu Daud (yang bermaksud): Sesungguhnya ubat daripada kebodohan adalah bertanya.

Tajuk: Allah Melarang Membodohkan Akal
Pengarang: Dr. Muhamad Rozaimi Ramle
Penerbit: Kemilau Publika Sdn Bhd, Sg. Buloh, Selangor
Tahun: 2016
Tebal: 179 halaman


NOR RAIHAN ABU BAKAR bekas wartawan yang kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka

Lihat Komen