malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
MP Rusia mahu Beauty and The Beast diharam
Diterbitkan:  Mar 7, 2017 2:21 PM
Dikemaskini: 6:56 AM
ADS

Anggota parlimen Rusia mahu undang-undang dikaji semula terhadap versi terbaru keluaran Disney, Beauty and The Beast ekoran dakwaan filem berkenaan menyelitkan unsur-unsur seks sesama jenis.

Vitaly V. Milonov menegaskan pendiriannya selepas mengumpulkan beberapa laporan media dan aduan dibuat oleh ibu bapa walaupun belum pernah menyaksikan filem diarahkan Bill Condon itu.

Menurut jurucakap Ilya Yevstigneyev, Milonov dalam suratnya kepada Kementerian Kebudayaan Rusia berkata, terdapat sebuah “adegan seksual luar tabii” dipaparkan dalam filem kanak-kanak itu.

“Dalam kes ini, masyarakat tidak boleh hanya berdiam diri ke atas isi kandungan ditawarkan oleh pengedar sedangkan mereka ini berselindung di bawah kisah dongeng kanak-kanak. Ini adalah dengan jelas, terang-terangan, propaganda dosa dan hubungan seksual sumbang,” kata Malinov.

Milonov adalah individu bertanggungjawab sebagai penggerak yang mengharamkan pengedaran “propaganda homoseksual” terhadap kanak-kanak.

Beliau berpendapat tindakan segera perlu diambil memandangkan jadual penayangan filem itu dikeluarkan pada musim cuti sekolah di Rusia.

“Tugas kita adalah untuk menghentikan filem muzikal ini daripada ditayangkan di pawagam atau menggunakan cara lain,” katanya.

Filem itu dibarisi oleh aktres Emma Watson yang memegang watak Belle, Dan Stevans (Beast), Luke Evans (Gaston) dan Le Fou dimainkan oleh Josh Gad - karakter homoseksual yang menyukai Gaston.

Bagaimanapun, Condon berbangga apabila dalam satu temubual bersama majalah Britain mendedahkan ini adalah versi pertama Disney yang berbuat demikian iaitu mengetengahkan karakter gay.

Minggu lalu, sebuah teater pandu-lalu di luar bandar Alabama juga enggan menayangkan filem berkenaan dengan menggunakan hujah yang sama.

Namun, setakat ini tiada maklum balas dikeluarkan oleh menteri kebudayaan Rusia mahupun Disney.

Lihat Komen