malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Teater Terang Malam temui peminat esok
ADS

Penyatuan adik beradik yang lama terpisah menjadi pengisian utama persembahan teater "Terang Malam" yang akan
dipersembahkan oleh CubeArt Stage dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bermula esok di Panggung ITBM.

Penulis skrip teater Terang Malam, Siti Noor Hafizah Noor Asram, 27, berkata penceritaan itu diambil daripada beberapa buah puisi di dalam buku 'Di Dalam Dalam' hasil nukilan Sani Sudin, yang juga penyanyi kumpulan Kopratasa.

"Semua puisi yang dihasilkan beliau sangat unik dan saya telah pilih beberapa puisi untuk dijadikan skrip. Setiap puisi menceritakan mengenai diri penulis, konflik, perasaan serta penceritaan antara penulis dan penciptanya.

"Kebiasaannya setiap puisi mempunyai tajuk tetapi puisi beliau hanya mempunyai tajuk Dalam 1 hingga Dalam 81, dan ia menarik perhatian saya untuk menjadikan ia sebuah karya," katanya kepada Bernama hari ini.

Siti Noor Hafizah atau lebih dikenali dengan nama pentas Afiza Asram berkata teater itu mengisahkan bagaimana satu perbualan panjang antara seorang lelaki dan wanita di suatu malam yang akhirnya membongkar sebuah rahsia besar dalam hidup mereka.

Katanya jualan tiket juga amat memberangsangkan dan mendapat sambutan daripada orang awam dan juga pelajar.

"Terang Malam" akan dipersembahkan esok dan 3 Mac ini pada pukul 8.30 malam, seterusnya 4 dan 5 Mac pada pukul 3.30 petang dan 8.30 malam.

Ketua Pegawai Eksekutif ITBM Mohd Khair Ngadiron berkata persembahan teater ini merupakan kerjasama pertama pihaknya dengan CubeArt Stage.

"Kerjasama kali ini melibatkan anak muda dan saya lihat usaha sebegini wajar disokong. Teater ini juga menjadi satu penghormatan dan aspirasi kepada Sani agar karya puisi beliau dan penyajak yang lain terus kekal," katanya.

Katanya sesebuah karya dalam buku perlu dikeluarkan ke dalam bentuk karya yang lain seperti teater agar karya itu terus malar segar.

Beliau berkata teater seperti ini mempunyai isi dan mesej yang jelas untuk disampaikan kepada penonton berbanding cerita hiburan semata-mata. -Bernama

Lihat Komen