malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Vokalis kumpulan Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie, mengesahkan kumpulan itu kini sudah bertiga dan bukan lagi berempat.

Katanya, ketiga-tiga anggota sudah bersemuka untuk menyelesaikan isu membelenggu mereka dan pemain gitar utama Wings, Joe.

"Joe sudah menubuhkan kumpulan sendiri dan saya juga baru tahu mengenainya.

"(Perpisahan) ini adalah persetujuan bersama, tapi tak mengapa sebab Joe hanya seorang pemain gitar dan terdapat berlambak pemuzik baru yang berbakat," katanya.

Awie, 48, ditemui pada sidang media pengumuman Wings & Superfriends - Belenggu Irama di Istana Budaya Kuala Lumpur hari ini.

Konsert itu adalah bagi meraikan dan mengumpul sumbangan buat bekas pemain dram Search, Yazid, dan memperjuangkan nasib artis lain yang lebih kurang sama.

Wings kugiran rock yang turut dianggotai Eddy sebagai pemain bass dan Black (dram) ditubuhkan pada sekitar 1987.

Tak mau dedah pekung

Selepas mengundurkan diri dari Wings, Joe dikatakan menubuhkan kumpulan baru iaitu Prime Domestic.

Krisis kumpulan ini mula mendapat perhatian apabila Konsert Wings 30 tahun ‘Live’ @ Kota Kinabalu ditunda.

Media melaporkan ketiga-tiga anggota Wings sebelum itu telah berpatah arang daripada Joe.

Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir disebut antara punca konsert yang sepatutnya berlangsung di Stadium Likas, Sabah pada 24 Disember lalu ditunda.

Bagaimanapun, Awie tidak mahu menjelaskan lebih lanjut alasan sebenar kumpulan itu berpecah.

"Buat apa saya membuka pekung orang sedangkan aib sendiri nanti tidak terjaga.

"Kami cuma mahu mencari kelainan dan dalam perancangan ingin menghasilkan sebuah single tidak lama lagi.

Apabila ditanya mengenai berita ini yang boleh menimbulkan kekecewaan peminat, Awie hanya berkata keputusan itu tidak melemahkan kumpulan terbabit.

"Kekuatan Wings bukan terletak atas individu tetapi nama kumpulan.

"Dan kami juga akan tetap teruskan konsert di Sabah dan mungkin ada pemain gitar sessionist dalam setiap persembahan," katanya.

Lihat Komen