Walaupun ditemui dalam keadaan tidak terurus, penyanyi era 1980-an, Ben Nathan masih mampu mengingati melodi dan lirik lagu yang pernah dipopularkannya “Stanza Sepi Sekeping Hati”.
Melihatkan keadaan Ben yang hidup gelandangan, situasi itu mungkin boleh menyebabkan seseorang dengan mudah menjatuhkan hukum terhadap gaya hidup dijalani lelaki itu.
Bagaimanapun, menurut Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) Datuk DJ Dave, ketika bersua mata, Ben dilihat mempamerkan daya ingatan kuat, memahami pertanyaan, selain memasang harapan untuk bergiat aktif semula dalam bidang seni suara.
“Ketika saya menemuinya kami berborak macam biasa, dan dia masih mengingati nama saya Irwan Shah Abdullah.
“Dia kemudian menyanyikan lagu “Stanza Sepi Sekeping Hati” sambil mengukir senyuman, malah ada kalanya ketika kami berborak dia juga bergelak ketawa macam orang lain.
“Apabila saya bertanyakan mengenai bidang nyanyian pula, dia begitu teruja untuk mengubah dan menyanyi semula selain ingin membawa pembaharuan pada lagu-lagu lamanya,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Ben atau nama penuhnya Ben Adam Patmanathan Abdullah kini sedang menjalani rawatan bagi membolehkan doktor memantau tahap kesihatan dan mentalnya selama seminggu di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Sebelum itu, kelibat Ben yang dirakam menerusi sebuah klip video berborak dan menerima sekeping sampul surat berwarna merah dari seorang lelaki menjadi tular di media sosial.
DJ Dave berkata selama sembilan tahun beliau tidak mendengar sebarang berita mengenai Ben dan usaha menjejakinya giat dijalankan.
Pencarian 6 bulan
Dan dalam tempoh enam bulan lalu, usaha DJ Dave akhirnya membuahkan hasil apabila terserempak lelaki itu di tiga lokasi berasingan seperti di kawasan sekitar Muzium Negara dan Brickfields.
Menurut DJ Dave, segala urusan berkaitan Ben akan dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sebaik dia dibenarkan keluar dari HKL.
Sehubungan itu, DJ Dave berkata demi membantu Ben membina kehidupan baru, sebuah majlis amal akan diadakan bagi mengutip dana.
“Ia masih dalam perancangan, minggu depan saya akan bertemu Tan Sri Jojo (Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir) untuk membincangkan perkara ini.
“Ia mungkin sebuah majlis makan yang bakal bertempat di lokasi seperti Saloma Bistro, Hard Rock Cafe atau Hotel Concorde,” katanya.
Namun, buat masa ini tiada lain yang benar-benar diharapkan oleh DJ Dave selain kesihatan Ben dapat pulih sepenuhnya.
“Biarpun kita ada membuat perancangan untuk Ben, buat masa ini yang penting adalah rawatan kerana terdapat gangguan padanya namun punca sebenar tidak dapat dikenalpasti. Hanya selepas itu baru kita tahu selebihnya yang terbaik untuk dia.
“Tiada siapa tahu mengapa dia memilih untuk hidup gelandangan, tetapi saya benar-benar berharap dia pulih dan dapat kehidupan lebih elok selepas ini selain diterima masyarakat,” katanya.