malaysiakini logo
story-image
ADS

Bercinta dengan jejaka yang memiliki wajah seakan-akan sama atau tidak, pengacara popular Neelofa tidak peduli. Baginya, kalau sudah jodoh ia tentu akan ‘menjadi.’

Ditanya tentang kepercayaan orang tua-tua bahawa jodoh seseorang datang pada pasangan yang mempunyai paras rupa seakan-akan sama, Neelofa berkata hal itu tidak boleh disifatkan sebagai syarat untuk sesuatu hubungan berakhir di jinjang pelamin.

Sebaliknya, Neelofa yang kadang-kala mengisi masanya sebagai pelakon beranggapan, bagi seseorang yang ingin berumahtangga ciri utama yang diingini ialah pasangan yang mampu ‘menyejukkan mata’.

“Saya bukan tidak mahu percaya, tetapi memang susah nak jelaskan mengenai perkara ini.

“Bagi saya ciri-ciri perlu ada pada pasangan saya perlu melibatkan daya tarikan, persamaan selain selesa untuk berada di sisinya," kata pelakon filem Azura itu.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, ditemui pada majlis pelancaran wangian Awal Ashaari Bléu dan Scha Alyahya Maroòn di Kuala Lumpur semalam.

Apabila bercerita tentang rumahtangga, dia yang turut berlakon dalam drama Suri Hati Mr Pilot itu tidak menolak andainya jodoh memang sudah dekat.

Katanya, tiba masa untuk dia untuk memenuhi impiannya bergelar seorang isteri tatkala usianya kini sudah mencecah 28 tahun.

“Seperti saya pernah maklumkan sebelum ini, kalau sudah sampai umur 28 tahun memang nak cepat-cepat berkahwin.

“Tetapi kalau tidak tahun ini, mungkin tahun depan atau dua tahun lagi semuanya mengikut ketentuan Tuhan, apa pun saya berdoa agar segala urusan dipermudahkan,” katanya.

Sejak digandingkan dengan pelakon Fattah Amin (gambar) dalam Suri Hati Mr Pilot, kemesraan dipamerkan antara mereka berdua di media sosial begitu banyak mencetuskan spekulasi.

Malah ada peminat yang tidak sabar-sabar mengharapkan hubungan kedua-duanya berakhir sebagai suami isteri.

Tak adil dituduh beri harapan palsu

Tambahan pula di mata sesetengah peminat, wujud semacam wajah seiras pada Neelofa dan Fattah. Maka atas alasan itu mereka mengaitkannya dengan kata orang tua-tua dulu.

Pernah suatu ketika Fattah yang ditemubual media berkeras menyatakan dirinya pernah tersasul apabila berbicara soal kedatangannya ke rumah Neelofa dan bertemu keluarganya.

Ia tidak terhenti di situ, kemunculan pelakon Tania Hudson yang dikaitkan sebagai orang ketiga hingga menjadi punca keretakan hubungan Neelofa dan Fattah pula terus menimbulkan tanda tanya.

Bagi kebanyakan orang, andai kata mereka tidak pernah sekali pun mengaku bercinta, masakan hubungan boleh menjadi "retak".

Tania dan Fattah bagaimanapun menepis segala dakwaan dengan menggunakan alasan mereka hanya sekadar “berkawan baik.”

Malah ibarat enggan memanjangkan perkara berbangkit, Neelofa dan Fattah masing-masing menegaskan tiada pergaduhan pernah terjadi antara mereka.

Neelofa dan Fattah pula akan bergandingan semula dalam sebuah drama yang dijangka memulakan penggambaran pada Mac depan.

Tidak khuatir drama berkenaan boleh mencetuskan pelbagai spekulasi lagi dan dituduh menyuntik harapan baru kepada peminat, Neelofa berkata perkara itu sudah difikirkan sebaik mungkin.

“Sudah tentu saya sudah fikirkan perkara itu, tetapi tidak adil untuk mana-mana pihak menuduh kami memberi harapan palsu.

“Bagi saya, kami berdua hanya menjalankan tanggungjawab untuk bekerja, selebihnya hanyalah andaian dan impian yang direka orang lain.

“Saya tidak boleh kawal itu semua, kalau mereka ingin saya ke jinjang pelamin (dengan Fattah) itu adalah kehendak anda sendiri,” katanya.

Lihat Komen