malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Tiada lelaki idaman, Amira Othman pentingkan kerjaya
ADS

Jika diberi pilihan antara melakar nama dalam industri seni atau mencari jodoh, penyanyi dan pelakon Amira Othman lebih rela memilih kerjaya berbanding cinta.

Bagi Amira, soal perasaan harus diketepikan dahulu agar dia dapat menumpukan perhatian dalam membina kerjayanya, sekali gus mencapai impian dihajati.

“Barangkali, antara faktor saya masih lagi tidak berjumpa lelaki idaman adalah kerana saya amat mengutamakan kerja buat masa ini.

“Bagi saya, rezeki bukan datang selalu dan cinta itu boleh hadir kemudian,” kata pelakon Abang Bomba I Love You ini.

Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 24, ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan dan kosmetik Meriel di Kuala Lumpur kelmarin.

Seperti kebanyakan wanita lain, penyanyi Hati-hati itu berpendapat perkahwinan adalah perkara lumrah yang diingini setiap wanita.

Namun, bagi Amira, masanya belum tiba untuk memikirkan soal jodoh dan sekiranya ketentuan Tuhan itu datang kelak, dia tidak mahu menghabiskan terlalu banyak masa untuk bercinta.

“Sebenarnya saya tidak terfikir langsung untuk berkahwin, tunggulah apabila tiba usia 27 atau 28 nanti.

“Saya juga tidak berniat untuk bercinta lama-lama kerana sebagai perempuan ia boleh mendatangkan kerugian sekiranya lelaki itu bukan jodoh kita,” katanya.

Rezeki datang mencurah

Walaupun bergelar pendatang baru, rezeki anak kelahiran Skudai, Johor itu bagaikan mencurah-curah apabila dihujani pelbagai tawaran nyanyian.

Menurut bekas peserta program realiti Akademi Fantasia 2013 itu, disebabkan rutin hariannya terlalu padat untuk memenuhi undangan nyanyian, dia terpaksa menolak tawaran berlakon.

“Alhamdulillah, Abang Bomba I Love You yang menjadi drama pertama melariskan nama saya dalam industri.

“Apabila terlalu banyak menerima peluang untuk menyanyi, saya terpaksa menolak beberapa tawaran drama dan telefilem,” katanya.

Amira berkata, meskipun menganggap nyanyian sudah sebati dengan dirinya, kerjaya lakonan tidak akan ditinggalkan begitu saja.

“Saya tidak menolak seandainya sudah ditakdirkan rezeki ada untuk berlakon. Tetapi kalau berlakon, saya akan pastikan ia tidak membelakangkan nyanyian.

“Dan untuk tahun ini, kalau boleh saya akan pastikan sekurang-kurangnya melakonkan satu drama,” katanya.

Lihat Komen