malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
3 suspek termasuk pemandu Kim K dibebaskan
Diterbitkan:  Jan 12, 2017 11:40 AM
Dikemaskini: 3:43 AM
ADS

Tiga suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes rompakan Kim Kardashian, termasuk pemandu selebriti berkenaan, dibebaskan hari ini, kata pegawai pejabat pendakwa Paris.

Seramai 17 suspek termasuk pemandu Kim ditahan pada Isnin lalu selepas serbuan dilakukan di Perancis.

Siasatan kes rompakan bersenjata ke atas bintang rancangan realiti televisyen yang berlaku pada 3 Oktober lalu masih diteruskan.

Menurut jurucakap polis, suspek berusia antara 23 hingga 73 tahun dan mengikut undang-undang Perancis, boleh ditahan hingga 96 jam untuk soal siasat.

Memetik laporan CNN, kesemua suspek ditahan bagi membolehkan polis mendapat lebih banyak maklumat mengenai rompakan bersenjata yang melibatkan kerugian barang kemas serta wang tunai bernilai sehingga AS$10 juta (RM44.6 juta) milik Kim.

Sementara itu menurut peguam Kim, Jean Veil, penahanan itu dianggap sebagai “satu kejutan bagus.”

Katanya, di sebalik penahanan berkenaan, mungkin barang kemas yang dilarikan perompak boleh ditemukan semula selain mengakhiri spekulasi segelintir pihak yang mendakwa Kim sengaja mengarahkan rompakan bersenjata itu dibuat untuk mendapatkan publisiti.

Kementerian Dalam Negeri Perancis mendedahkan, rompakan berlaku apabila lima lelaki bersenjata mengugut penyambut tetamu dengan menggari dan memaksanya membuka bahagian pangsapuri persendirian disewa Kim.

Dua dari lima lelaki terbabit memasuki bilik Kim sebelum mengacukan pistol ke kepalanya.

Menurut sumber, Kim merayu agar dia tidak diapa-apakan apabila diugut dengan pistol, namun dia diikat dan dikurung di dalam bilik mandi.

Kelima-lima suspek melarikan dua telefon genggam dan barang kemas. Bagaimanapun, hanya satu daripada telefon genggam berkenaan milik Kim.

Menurut pendakwa, cincin berkenaan dianggarkan bernilai 4 juta euro (RM18.9 juta) dan kotak barang kemas dengan kandungan bernilai 5 juta euro (RM23,669,743) dilarikan.

Bekas pengawal peribadi Kim, Pascal Duvier pula sebelum ini pula mengesyaki rompakan itu dilakukan oleh orang yang mengenali isteri kepada penyanyi Kanye West itu.

Lihat Komen