malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Malangnya Anuar menceburi politik...
ADS

Mengenali Anuar Tahir secara dekat sejak 1997, saya secara peribadi berpendapat beliau tidak sepatutnya terjun ke dunia politik tanah air, lebih-lebih lagi pada masa kini.

Perwatakannya yang lembut, tenang secara luaran tetapi penuh semangat juang di dalamnya saya kira lebih cocok jika dicirikan oleh seorang aktivis sukarela - tugas yang memang digalas beliau sewaktu muda dulu.

Menganggotai parti politik pembangkang dalam persekitaran politik yang tercemar agak membebankan Anuar.

Bagi saya, seorang politikus pada sesetengah masa akan 'berhati kering' dan berasa hanya dirinya saja yang ada pada sisi benar, besar egonya malah mungkin mampu mencantas orang lain termasuk rakan sendiri dan memijaknya demi mendapat kedudukan yang lebih tinggi.

Ia adalah sifat yang pada hemat saya tidak akan dapat dilakukan oleh Anuar.

Pandangan itu menjadi lebih kuat apabila baru-baru ini Anuar menerbitkan kumpulan sajak persendiriannya - Puisi Peduli. Orang yang rapat dengan Anuar memang tahu minatnya yang mendalam kepada seni dan puisi.

Tetapi, tunggu sebentar. Politikus menulis buku puisi?

Jika pun tidak suatu paradoks, ini adalah perkara yang menurut Tan Sri P Ramlee dalam Nujum Pak Belalang sebagai “jarang-jarang” berlaku.

Puisi runcit-runcitan

Meminati puisi mungkin kedengaran agak biasa bagi seorang politikus. Tan Sri Muhyiddin Yassin pun mungkin meminati puisi “pada skala tertentu”.

Pada hari-hari awal pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri Muhyiddin membaca dua baris sajak monumental Chairil Anwar, Aku. Ya, cuma hanya dua baris itu sajalah.

Aku ini binatang jalang
dari kumpulannya terbuang
.

Datuk Seri Najib Razak pula pernah pada satu ketika membangkitkan “falsafah Bugis” selain ungkapan sedikit puitis - walaupun janggal - iaitu “setelah layar telah dikembangkan, apabila sauh telah dilabuhkan, pantang ketua kapal dan anak-anak kapal menoleh ke belakang".

Dua contoh di atas bukanlah petunjuk yang baik untuk menunjukkan hubungan akrab politikus dan puisi.

Ia boleh sahaja ditafsirkan begini: Puisi hanya digunakan secara runcit-runcitan atau sekali sekala sebagai komoditi sama ada untuk menyelamatkan diri yang tersepit, atau sebagai modal politik meraih sokongan golongan tertentu.

Sifat yang lebih jelas terhadap puisi (atau seni secara keseluruhannya) sebenarnya telah ditunjukkan oleh ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, tahun lepas apabila meminta ruangan seni dalam media rasmi kerajaan Selangor, Selangor Kini, ditutup dan digantikan dengan ruangan sukan.

Itulah sifat biasa politikus. Politikus “sepatutnya” bersikap begini terhadap seni. Dan, sama ada cadangan ADUN PAS itu diambil kira oleh sidang editorial ataupun tidak, ruangan seni nampaknya sudah ditalkinkan tanpa nisan dalam akhbar itu sejak entah bila.

Menulis secara per se apatah lagi menulis puisi sebelum mengumpulkannya untuk menghasilkan sebuah buku memerlukan disiplin dan stamina tinggi.

Lebih daripada itu, ia menuntut ketajaman hati serta pemerhatian tidak terburu-buru terhadap sesuatu perkara sebelum melahirkannya lewat kata-kata terbaik dalam susunan terindah.

Pekerjaan yang menuntut kesabaran tinggi ini secara adatnya agak berlawanan dengan resam politikus lazim mahu segera dalam segenap perkara.

Namun ada juga politikus yang mahu kedua-duanya serentak - cepat bergerak dan mahu menulis. Maka di sana wujud pula satu profesyen dipanggil penulis hantu (ghost writer) untuk meladeni politikus sebegini.

Naskhah separa memoir

Apa pun, menulis puisi adalah satu kualiti yang jarang ada pada seorang politikus. Selain Anuar, bekas pemimpin PAS, Dr Muhaimin Sulam adalah antara “orang politik” yang dilihat memiliki kualiti itu.

Kumpulan Puisi Peduli garapan Anuar setebal 143 halaman dan memuatkan sejumlah 60 puisi itu bakal membezakan beliau dengan politikus lain di negara ini.

Dengan menulis puisi, sekurang-kurangnya difahami bahawa Anuar punya tafsiran berbeza berbanding orang lain terhadap sesuatu perkara. Penulis puisi lazim dapat memahami lebih daripada satu lapis makna di sebalik sesuatu perkara itu.

Di atas itu semua, menulis puisi menjadikan penulis punya penghargaan yang lebih besar kepada subjek yang ditulis. Ia melahirkan empati – satu lagi kualiti yang juga perlu ada pada seorang politikus tapi seperti menulis puisi, ia juga jarang ada.

Latar belakang dan pengalaman Anuar selaku pemimpin mahasiswa, pendidik, aktivis sukarela, pemimpin gerakan Islam dan lain-lain sebelum terjun ke kancah politik adalah batu bata yang membina rumah kata-kata dalam buku puisi beliau.

Membaca Puisi Peduli seperti membaca naskhah separa memoir atau biografi Anuar kerana pengalaman dan cerita yang diingatinya sejak dari kecil, remaja membawa ke dewasa dihidangkan dengan mewah dalam buku ini.

Antaranya, pengalaman dia memimpin mahasiswa ITM (kini UiTM) menawan kampus Jalan Othman selama beberapa hari lanjutan dari perarakan mahasiswa dari Petaling Jaya dan Shah Alam ke Parlimen dan digagalkan polis.

Tuntutan mereka adalah agar kerajaan mengiktiraf sijil keluaran ITM dan menaik taraf ITM kepada universiti.

Anuar telah mengisytiharkan dirinya sebagai pengarah ITM dan menduduki pejabat pengarah selama tempoh rampasan kampus itu berjalan.

Peristiwa ini dirakam beliau dalam puisi 22 April Sebuah Peristiwa. Dan ada diceritakan lebih lanjut dalam satu lagi buku beliau, Institut Sofar Perubah Zaman (2015).

Persahabatan beliau dengan Anwar Ibrahim sejak 1970-an, idealisme dalam gerakan Islam, penglibatan dalam Parti Amanah Negara (AMANAH) turut dinukilnya dalam buku ini.

Rakaman penghargaan kepada sahabat sepanjang tempoh itu turut mewarnai buku ini, menjadikan ia lebih bersifat peribadi. Tidak ketinggalan kekaguman Anuar kepada tokoh pejuang dari seluruh dunia seperti Che Guevara, Muhammad Natsir, Dr Burhanuddin Helmy, Widji Thukul dan Marsinah - tokoh wanita pejuang hak pekerja yang mati dizalimi penguasa.

Buku Puisi Peduli ini jika diberi kepada seorang sasterawan “carma” mungkin akan dilihat mengecewakan kerana tiada ayat terlalu berbunga dan istilah yang sukar difahami orang biasa.

Sebagai seorang “pengamat sejarah yang amat sederhana” (yang dijelaskan pada kulit belakang buku ini), Anuar menggunakan medium puisi untuk merakam sejarah dirinya untuk tatapan anak cucu dan generasi mendatang.

Orang yang rapat dan sama berjuang dengan beliau akan menghargai buku ini dan menganggapnya sebagai hadiah istimewa Anuar untuk mereka.

Dan kepada orang yang belum mengenalinya, buku ini boleh menjadi anak kunci pada pintu rumah pengalaman dan perjuangan beliau yang luas.

Lihat Komen