malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
'Laskar Pelangi' sokong Ahok terus tadbir Jakarta
Diterbitkan:  Dec 1, 2016 4:16 PM
Dikemaskini: 8:45 AM
ADS

Dikecam, dicari dan disiasat atas dakwaan menghina agama, ia tidak menghalang pelakon Lukman Sardi menyatakan sokongannya kepada calon gabenor Jakarta, Ahok.

Menurut Lukman cadangan Ahok - atau nama sebenarnya Basuki Tjahaja Purnama - mahu menjadikan Jakarta sebuah kota seni perlu mendapat sokongan ramai.

Kata pelakon yang membawa watak Ikal dalam Laskar Pelangi itu dia memberikan sokongan kepada Ahok, 50, sejak sebelum ini lagi.

"Tentunya saya sokong Pak Ahok dari sisi seniman. Pak Ahok ingin membuat kota Jakarta jadi sebuah kota seni, saya kira itu perlu disokong," katanya dipetik Tempo.

Ahok berpasangan dengan timbalannya, Djarot Saiful Hidayat, untuk bertanding dalam pilihan raya Jakarta yang dijadual diadakan 19 April 2017.

hokaDjarot, 54, adalah bekas Datuk Bandar Blitar dan mewakili Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan.

Ahok - Djarot dicabar pasangan Agus Harimurti Yudhoyono dan Sylviana Murni yang disokong Parti Demokrat, Parti Persatuan Pembangunan, Partai Kebangkitan Bangsa dan Parti Amanat Nasional.

Turut bersaing ialah pasangan Anies Baswedan Sandiaga Salahuddin Uno. Mereka didukung Parti Gerakan Indonesia Raya dan Parti Keadilan Sejahtera.

Untuk makluman Agus Harimurti adalah anak sulung bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono, manakala Anies adalah menteri pendidikan dan kebudayaan kabinet Joko Widodo.

Ahok adalah tokoh Cina dan bukan Islam pertama menduduki kerusi gabenor Jakarta.

Ucapannya di Pulau Seribu menjadi kontroversi apabila mendakwa ada orang dibohongi ayat 51 surah al-Maidah.

Ia kemudian mencetuskan protes besar-besaran di Jakarta pada 4 November lalu.

Kata Lukman, Jakarta penting kepada Indonesia kerana ia adalah gambaran utama untuk pihak luar mengenai negara itu,

"Kalau lihat kita bandar raya di luar negara namanya besar kerana pengaruh seni yang dikelola kerajaan tempatan - dari budaya bahkan muziumnya.

"Justeru cadangan Ahok membangunkan Jakarta sebagai kota filem sangat baik. Malah Ahok mengimpikan suatu ketika nanti Jakarta boleh menjadi rujukan negara luar untuk menghasilkan filem," katanya.

Namun bukan atas faktor seni saja Lukman menyokong Ahok.

Katanya Jakarta di bawah pentadbiran Ahok berubah banyak walaupun mengakui kadang-kadang tokoh terbabit menggunakan pendekatan kasar dan keras.

"Cuma sikap tersebut kadang-kadang diperlukan untuk menjadikan ibu kota tertib atau jika tidak, ia sukar dikawal," katanya.

Lihat Komen