malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Satu lagi jemputan rasmi ditolak Dylan
Diterbitkan:  Dec 1, 2016 11:53 AM
Dikemaskini: 4:34 AM
ADS

Bukan saja majlis penganugerahan yang diketepikan Bob Dylan, malah penyanyi itu turut menolak hadir bertemu Presiden AS Barack Obama di Rumah Putih hari ini.

Obama dijadual mengadakan pertemuan dengan beberapa warga AS yang akan menerima anugerah Nobel secara rasmi tidak lama lagi dan penganjur majlis itu memang berharap semua tokoh terbabit dapat hadir.

Jurucakap Rumah Putih Josh Earnest bagaimanapun mengesahkan Dylan, 71, tidak akan menghadirinya.

"Bob Dylan tidak akan berada di Rumah Putih hari ini, justeru semua orang boleh relaks," katanya.

Tidak dapat dipastikan mengapa penyanyi The Times They Are a-Changin' itu enggan hadir ke Rumah Putih.

Alasan dia tidak menggemari Obama mungkin bukan puncanya kerana kedua-dua mereka pernah bertemu sebelum ini.

Malah Obama menganugerahi penyanyi keturunan Yahudi itu Pingat Kebebasan Presiden pada pada 2012.

Obama juga menyatakan rasa "seronok" ketika bertemu pemenang Anugerah Kesusasteraan Nobel itu.

Majlis penyampaian Anugerah Nobel dalam pelbagai bidang akan diadakan di Stockholm, Sweden, pada 10 Disember ini.

Selain Dylan tokoh yang akan menerima anugerah berprestij itu ialah Oliver Hart untuk bidang sains ekonomi, Yoshinori Ohsumi (perubatan/psikologi), Duncan Haldane (fizik) dan Presiden Colombia, Juan Manuel Santos (keamanan).

Sebelum ini Swedish Academy yang mengelolakan Nobel berkata Dylan tidak akan muncul menerima anugerah berkenaan kerana "ada komitmen lain yang menyebabkan ia mustahil dihadiri".

Empat tokoh yang akan bertemu dengan Obama hari ini ialah tokoh kelahiran Britain yang berhijrah ke AS.

Mereka ialah Haldane, Hart, Michael Kosterlitz (fizik) dan Fraser Stoddart (kimia).

Lihat Komen