malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Wan Maimunah: Ibu tak laku sebab tak lawa...
ADS

Berbesar hati dengan doa orang ramai supaya dia segera sembuh, Wan Maimunah boleh menarik nafas lega apabila dibenarkan keluar dari hospital selepas Maghrib tadi.

Ditahan di wad Hospital Jasin di Melaka kerana kerana mengalami bengkak jantung dan jangkitan paru-paru sejak Khamis lalu, keadaan kesihatan yang bertambah baik membolehkan dia diizin pulang.

Namun cabaran di luar wad mungkin masih tidak menentu buat aktres itu.

Bidang lakonan yang menjadi periuk nasinya kini bagaikan makin sulit apabila permintaan untuk karakter yang sesuai dilakonkannya bertambah terhad, manakala pelakon lebih muda ramai dan digemari.

Bercakap kepada Malaysiakini, Wan Maimunah yang membahasakan dirinya "ibu" itu berkata, peluang berlakon semakin berkurangan.

Puncanya - mungkin dipengaruhi faktor rupa paras.

“Sekarang bukan ada orang nak berikan tawaran kepada orang tua. Ibu bukan berasa terpinggir, tetapi memang tidak laku sebab tak lawa,” katanya sambil berseloroh.

Dengan nada seperti kesal, Wan Maimunah, 50, mempersoalkan kecenderungan penerbit menggunakan tema penceritaan lebih kurang sama pada setiap drama untuk ditayangkan kepada umum.

Selain itu, kata pelakon memiliki nama penuh Wan Maimunah Wan Abdul Aziz itu penerbit sepatutnya memberi penekanan lebih kepada unsur teladan supaya khalayak terdidik secara tidak langsung.

Cuma sakit ringan

Namun katanya sesetengah naskhah seolah-olah memperlekehkan aspek itu.

“Banyak cerita mengisahkan pasangan sudah berkahwin tetapi ada skandal dengan orang lain, perempuan lahirkan anak luar nikah - adakah ini boleh memberi pengajaran baik atau membawa nilai kekeluargaan yang elok pada pandangan masyarakat?

“Apabila perkara ini terjadi, nak salahkan siapa? Penerbit, penulis stesen TV atau syarikat pengiklanan?” soalnya.

Berkongsi pengalaman di hospital pelakon Jimi Asmara dan Anak Mami The Movie itu berkata ketika menerima rawatan hatinya begitu tersentuh apabila melihat begitu banyak pihak yang sudi melawat.

“Yang datang begitu ramai termasuk dari jauh seperti Pulau Pinang dan Sabah.

“Ibu sungguh tidak menyangka mereka yang hadir terdiri daripada pelbagai golongan dan agama - bukan Islam saja," katanya.

Menurutnya, masalah kesihatan itu dikesan beberapa hari selepas dia pulang dari menunaikan umrah.

Katanya, simptom awal ialah dia sering berasa sakit dada hinggalah dimaklumkan oleh doktor perlu ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Pada awalnya, Wan Maimunah tidak ingin menguar-uarkan masalah dihadapi kerana berpendapat ia cuma mengalami sakit ringan.

“Ibu mohon maaf tiada niat tidak mahu beritahu kerana tidak mahu orang menyangka sakit dialami begitu teruk hingga terlantar di hospital.

“Perjalanan ini semua dirancang oleh Allah, Dia yang mengaturkannya.

“Ibu hanya minta diberikan kesedaran dan tidak lupa diri,” katanya.

Lihat Komen