malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ahmad Dhani nafi hina Jokowi
Diterbitkan:  Nov 8, 2016 8:25 PM
Dikemaskini: 12:28 PM
ADS

Rugi mencecah ratusan juta rupiah adalah ‘harga’ yang terpaksa dibayar penyanyi Ahmad Dhani selepas dia diadukan kepada polis atas dakwaan melakukan penghinaan terhadap Presiden Indonesia Joko Widodo.

Pemuzik yang sering mencetuskan kontroversi itu berkata demikian dalam satu sidang media bagi membersihkan namanya yang menghadapi tuduhan terbabit dalam demonstrasi besar-besaran di Jakarta 4 November lalu.

Vokalis band Dewa 19 itu dikatakan terpaksa menanggung rugi apabila konsert yang sepatutnya berlangsung di Palembang pada malam esok dan di Jakarta (11 November) dibatalkan kerana tidak mendapat keizinan polis.

“Kerugiannya tidaklah mencecah bilion rupiah tetapi kira-kira jutaan rupiah,” katanya seperti dilapor media Indonesia.

Terdahulu, dua pertubuhan menyokong Joko Widodo, Laskar Rakyat Joko Widodo (LRJ) dan Pro Jokowi (Projo) membuat laporan mengenai Ahmad Dhani di pejabat polis daerah Metro Jaya.

Dalam laporan mereka, Ahmad Dhani dikatakan mengeluarkan ucapan mengandungi kata-kata keji dalam demonstrasi - diadakan bagi memprotes Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok (gambar) - yang didakwa menghina Islam.

Ahok didakwa mempertikaikan ayat al-Quran, sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat dan gerakan Islam di Indonesia.

Laporan ke atas Ahmad Dhani dibuat Ketua Umum LRJ Riano Oscha semalam.

Menurut Riano pihaknya memiliki bukti ucapan dibuat calon timbalan pegawai daerah Bekasi itu.

“Perbuatan Ahmad Dhani didapati melanggar undang-undang dengan menghina pemimpin negara dan diucapkan di depan Istana Merdeka,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Dhani menafikan dakwaan terbabit.

Menurut peguam Ahmad Dhani, Ramdan Alamsyah, penyanyi itu tidak berniat untuk memperlekeh Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi.

Sebaliknya, kata Ramdan, Ahmad Dhani mengesyaki ada pihak telah memutar belit fakta dan menganggap mereka sebagai penghasut.

“Kami menjumpai ada akaun Facebook dengan nama Indra Tan mengakui sebagai Ahokisme (penyokong Ahok). Dan akaun berkenaan menyebut Ahmad Dhani sebagai orang yang bertanggungjawab menghina Joko Widodo,” kata Ramdan sambil menunjuk bukti diperoleh dari akaun terbabit.

Dalam akaun itu juga, katanya, Ahmad Dhani didakwa menggelar Jokowi dengan sejenis binatang.

“Klip video itu didapati tidak sempurna malah kami mendapati ada sebahagian daripada isi kandungannya tidak asli,” tambahnya.

Sehubungan itu, Ramdan menjelaskan dalam klip video asli tiada satu perkataan pun dilontar oleh Ahmad Dhani menyebut perkataan Jokowi.

Lihat Komen