malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Tiada lagi Mutiara Naga, Budak Getah nak disentuh
Diterbitkan:  Oct 24, 2016 4:18 PM
Dikemaskini: 8:36 AM
ADS

Mungkinkah perkembangan dunia teknologi dan kepantasan maklumat menelan satu lagi korban dalam dunia penerbitan?

Sebuah syarikat yang suatu ketika dulu produktif menterjemah dan menerbitkan manga (komik dari Jepun) dipercayai menghentikan operasi mereka baru-baru ini.

Tiada pengumuman rasmi dibuat syarikat yang beroperasi sejak 1990-an itu, namun mungkin itulah kenyataan yang harus diterima oleh setiap peminat koleksi manga berkenaan.

Syarikat berkenaan memang terkenal kerana melakukan penterjemahan manga ke bahasa Melayu selain beberapa edisi turut dialih ke bahasa Cina.

Bagaimanapun, jumlah terjemahan bahasa Cina dikatakan tidak sebanyak manga berbahasa Melayu.

Disebabkan tiada alasan diberi sebelum syarikat itu menghentikan operasi, pelbagai andaian dibuat oleh penggemar manga.

Antara faktor utama yang dipercayai menyumbang kepada pemberhentian operasi berkenaan ialah pengaruh teknologi semasa yang membolehkan seseorang mengakses manga hanya sekelip mata dan di hujung jari saja.

Jika memang itu alasannya maka Internet nampaknya bukan saja menjejaskan syarikat penerbitan komik berkenaan, malah turut memberi kesan kepada penerbitan dalam negara.

Majalah Jelita, Anjung Seri, Ujang dan Apo! adalah antara majalah bercetak yang terpaksa dihentikan pengeluarannya.

Antara majalah keluaran syarikat itu ialah seperti Dragon Ball, Dragon Quest, Satria Pedang (Samurai X), Kindaichi, Yuyu Hakushu, Hunter X Hunter, Naruto, One Piece dan Bleach.

Jiwai ciri Jepun dalam manga

Sementara itu 'kehilangan' manga berkenaan dirasai ramai orang yang mengikutinya sejak sekian lama.

Seorang daripada mereka ialah peguam Syahredzan Johan.

"Melalui anda, kami dapat merasai manga dalam bahasa Melayu seperti Mutiara Naga (Dragon Ball), Budak Getah (One Piece), Penyiasat Remaja (Kindaichi Case Files), Yu Gi Oh, Dik Cerdas (Shin Chan), Misteri Naga (Dragon Quest) dan macam-macam lagi. Thanks for the memories," tulisnya di Facebook.

Haizir Othman berkata walaupun sudah dewasa khabar penutupan operasi syarikat itu dirasakannya "menyedihkan".

"Memanglah sekarang orang ramai boleh menikmati manga di laman web tetapi kesan dan perasaan membacanya berbeza.

"Tambahan pula sesetengah bahan itu diterjemah dengan baik sekali.

"Terjemahan itu memang berkesan sebab pembaca dapat merasai ciri Jepun di dalam manga itu," katanya.

Muhd Iqbal Asyran berkata ada beberapa ilmu yang diperolehinya daripada manga berkenaan.

"Saya belajar perkataan dan makna picisan daripada manga itu," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi syarikat berkenaan dan sedang menunggu untuk mendapatkan reaksi mereka berhubung laporan penutupan itu.

Lihat Komen