malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pekin sebak tonton Rock Bro
Diterbitkan:  Oct 23, 2016 1:23 PM
Dikemaskini: 6:02 AM
ADS

Pelakon Pekin Ibrahim mengakui sebak ketika menonton filem siri terakhir filem Rock arahan Mamat Khalid berjudul Rock Bro pada tayangan Malam Gala Rock Bro, baru-baru ini.

Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 35, berkata, mesej yang disampaikan dalam filem itu sama seperti yang pernah dilalui ketika dia mula menceburi industri seni tanah air.

"Saya sebak kerana filem ini benar-benar menarik perasaan dan jiwa saya, biarpun ia berkaitan dengan muzik rock tapi saya lihat perkara itu sama yang terjadi dalam industri perfileman juga.

"Perjuangan yang dilalui oleh mereka dalam memperjuangkan muzik rock mengingatkan saya mula-mula datang ke Kuala Lumpur yang hanya makan mee segera," ujarnya kepada mStar Online.

Filem Rock pertama ditayangkan pada tahun 2005, manakala siri kedua Rock Ooo pada 2013.

Sementara filem Rock Bro bakal ke pawagam bermula 27 Oktober ini.

Dalam pada itu, Pekin berkata, sebagai anak seni, dia tidak mahu perjuangannya berakhir seperti mana digambarkan dalam filem berkenaan.

"Masa dapat sahaja skrip saya sudah tersentuh dan sedih kerana abang Mamat matikan beberapa watak utama. Hanya watak saya iaitu Slash yang sampai ke penghujung dan membawa mesej berat.

"Ia memang susah kerana babak akhir itu saya terpaksa bawa emosi rakan-rakan lain yang sudah dimatikan wataknya. Biarpun jalan cerita sama dengan realiti hidup saya tapi saya tidak mahu berkesudahan seperti watak Slash," ujarnya.

Sementara itu Mamat Khalid berkata, sudah sampai masanya untuk dia menamatkan siri filem Rock dengan filem ketiga itu.

Filem terakhir ini turut menampilkan penyanyi-penyanyi rock terkenal seperti Mus May, Datuk Hattan, Man Kidal dan Black Wings.

"Cukuplah dengan tiga filem Rock ini dan filem terakhir ini boleh berdiri dengan sendiri biarpun penonton tidak mengikuti filem pertama dan kedua.

"Filem Rock terakhir ini istimewa kerana bermain emosi sedih dan menampilkan tetamu undangan penyanyi rock terkenal," ujarnya.

Filem ini turut dibintangi oleh Khir Rahman, Sofi Jikan, Azmi Black, Kamarool Yusoff, Shawarni, Amy Juliet dan Juliana Iskandar.

Lihat Komen