malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Karyawan alu-alukan inisiatif untuk industri kreatif
ADS

Tidak ada apa yang perlu dirisaukan jika kerajaan memperuntukkan dana bagi merancakkan industri kreatif di Sabah dan Sarawak, kata Presiden Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez.

"Tumpuan pengusaha (industri) lebih banyak di semenanjung sebelum ini tapi kita ada banyak bakat di dua negeri itu yang mungkin sebelum ini sedikit dipinggirkan kerana jauh dari pusat.

"Kita haruslah memberikan peluang kepada mereka (Di Sabah dan Sarawak) untuk sama-sama membangunkan industri mereka sendiri," katanya kepada Malaysiakini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2017 hari ini mengumumkan dua inisiatif baru akan dilaksanakan untuk pembangunan industri kreatif dan penerbitan filem.

Ia merangkumi 'Film in Malaysia Incentive, Arts and Culture Revitalisation Agenda' dan 'Hab Content Creation' Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Santubong, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Selain itu, kerajaan juga mengumumkan cukai sebanyak RM500,000 dinaikkan kepada RM700,000 bagi sektor swasta untuk penajaan pertunjukan kesenian, kebudayaan dan warisan tempatan dan luar negara.

Kata Freddie, walaupun kebanyakan peruntukan disalurkan kepada FINAS untuk membangunkan industri kreatif, beliau berpendapat ia tetap boleh dipandang sebagai satu usaha menggalakkan kegiatan kesenian secara keseluruhan.

"Pada masa sama industri kreatif tidak dilupakan, kami berterima kasih kepada kerajaan dan perdana menteri di atas peruntukan berkenaan.

"Buat sementara ini, mungkin akan lebih menjana lebih banyak pembangunan dalam industri melalui dana RM80 juta yang disalurkan," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap penggiat seni dapat memanfaatkan dana diperuntukkan untuk menghasilkan naskhah berkualiti bagi dipersembahkan di peringkat antarabangsa.

"Kami cuma berharap sebahagian daripada dana dapat digunakan untuk membawa karya ke luar negara seperti menyertai festival supaya kita dapat membina satu jenama negara yang menjadi pembekal isi kandungan kreatif. Itu penting juga," katanya.

Lihat Komen