malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Aznil: Wisma Yakin tinggal 'nyawa-nyawa ikan'
ADS

Dianggap sebagai satu daripada legasi penting peniaga Melayu di tengah kota raya, masa depan Wisma Yakin kini menjadi tanda tanya apabila ia dilihat melalui zaman malapnya.

Salah seorang yang berasa amat pilu dengan keadaan itu adalah Datuk Aznil Nawawi.

Menurutnya, peniaga Wisma Yakin mulai mengalami kesan sampingan apabila sebuah tapak bazar moden mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2004 -didirikan betul-betul di hadapan bangunan 11 tingkat itu.

"Akibatnya, laluan masuk ke bangunan dibina Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu menjadi sekecil-kecil lorong tikus."

"Pengunjung sampai tidak nampak laluan masuk kerana dilindungi bazar yang dibuka," katanya kepada Malaysiakini.

Aznil atau lebih dikenali sebagai Pak Nil sebenarnya bercakap sebagai wakil selain penasihat kepada Persatuan Penjaja Wisma Yakin.

Walaupun Aznil bukan peniaga aktif, bangunan berusia 44 tahun itu banyak menyimpan legasi keluarganya.

"Secara turun-temurun keluarga saya, dari datuk hingga anak buah menjalankan perniagaan di situ," katanya.

Sekitar tahun 2000 jalan depan Wisma Yakin dipenuhi penjaja haram. Bagi mengatasi situasi tersebut sebuah tapak bazar moden dibina.

Biar bernafas semula

Wisma Yakin menempatkan 30 kedai di tingkat bawah tetapi kini hanya tinggal beberapa unit yang diibaratkan sebagai 'nyawa-nyawa ikan' masih cekal meneruskan perniagaan.

Mengikut persetujuan awal kata Aznil, waktu operasi bazar moden itu sepatutnya dibuka pukul 3 petang dan berakhir 12 tengah malam setiap hari.

Tetapi lain pula halnya apabila ia beroperasi seolah-olah 24 jam sehari.

"Akhirnya peniaga Wisma Yakin rugi, ada kedai yang tidak dibuka kerana tiada keuntungan apabila pengunjung tidak nampak kedai kami.

"Kedai juga tiada orang nak sewa dan tidak laku dijual," katanya.

Pengerusi Persatuan Peniaga Wisma Yakin, Datuk Maideen Kadir Shah pula berkata masalah mereka sudah diadukan kepada beberapa pihak yang dirasakan boleh membantu.

Malangnya menurut Maideen respons diterima tidak memuaskan.

Maideen juga mendakwa ada antara barangan yang dijaja di situ adalah produk tiruan dan bermakna kerajaan tidak mendapat sebarang keuntungan daripadanya kerana tidak dibayar cukai.

Katanya, pihak yang berkenaan sepatutnya mencari penyelesaian untuk masalah yang sudah memakan usia bertahun-tahun itu.

"Biar kami bernafas untuk berniaga di Wisma Yakin semula.

"Pindahkan bazar moden ke tempat lebih sesuai agar tidak menghalang jalan di hadapan Wisma Yakin.

"Saya berharap pihak yang berkenaan dapat mengambil berat masalah ini dan membantu kami," katanya.

Lihat Komen