malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
SENIMAN sambut baik kelab KUAT Umno
Diterbitkan:  Oct 20, 2016 4:23 PM
Dikemaskini: 8:25 AM
ADS

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Zed Zaidi menyifatkan penubuhan Kelab Umno Artis Tanahair (KUAT) amat dialu-alukan, demi membalas jasa parti itu bangsa dan negara.

Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul berkata mana-mana penggiat seni berhak menubuhkan badan bagi membela kebajikan mereka, termasuk KUAT yang mahu mengajak artis bersama-sama dalam perjuangan Umno, lapor Umno Online.

“Pandangan saya, setiap penubuhan NGO mempunyai perjuangan visi dan misi mereka sendiri dan penubuhan KUAT juga mempunyai ideologi, matlamat dan asas perjuangan mereka yang tersendiri.

“Saya melihat penubuhan KUAT bertujuan membela artis-artis yang bernaung di bawah mereka, serta mengajak golongan artis dari pertubuhan mereka untuk bersama-sama membantu parti dalam usaha mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti Umno.
 

“Begitu juga dengan SENIMAN, kita juga ada perjuangan kami dalam membela nasib golongan penggiat seni terutamanya artis-artis tempatan tidak kira mana pun ‘haluan politik’ mereka, sedangkan saya sendiri merupakan ahli jawatankuasa Biro Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia bawah kepimpinan saudara Jamawi Jaafar,” beliau dipetik sebagai berkata.
 

Terdahulu, Presiden KUAT Datuk A Rahman Hassan menjelaskan bahawa penubuhan kelab itu merupakan usaha membalas budi serta menunjukkan sokongan kepada Umno.

Kelab tersebut secara rasmi didaftarkan bawah Perdaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 5 Oktober lalu.

Selain A Rahman, penggiat seni yang menerajui kelab itu ialah Datuk Yusof Haslam selaku timbalan presiden manakala, Azlee Jaafar selaku setiausaha agung dan Datuk Ziela Jalil pula bendahari.

Anggota jawatankuasanya terdiri daripada, Datuk Nash, Khir Rahman, Datuk Azman Salleh, Shuhaimi Baba, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Suhaimi Mohd Zain, Rahim Jailani, Dira Abu Zahar dan Liza Abdullah.

Lihat Komen