malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ahmad Dhani kecam Iwan Fals, Bimbim Slank
Diterbitkan:  Oct 18, 2016 12:06 AM
Dikemaskini: Oct 18, 2016 8:32 AM
ADS

Sikap dipamerkan penyanyi Indonesia Ahmad Dhani yang sering melemparkan kata-kata cacian terhadap seterunya dalam politik dilihat terus tidak diterima umum.

Selebriti yang pernah menyatakan hasrat bersaing untuk merebut jawatan Gabenor Jakarta itu dilaporkan memuat naik statusnya menerusi akaun Twitter baru-baru ini dilihat rasa tidak puas hati banyak pihak.

Status itu pula dituju secara langsung kepada dua arti yang memang dikenali ramai - pemain dram kumpulan Slank, Bimbim, dan penyanyi Iwan Fals.

Ia berkisar kepada isu Gabenor Jakarta Basuki Thjahaya Purnama yang kini menjadi kecaman sesetengah pihak atas sikap tegas dan berterus terangnya.

Nama lain - dan lebih popular - bagi gabenor itu ialah Ahok. Beliau tokoh keturunan Cina pertama dilantik sebagai gabenor di ibu negara Indonesia itu.

“Siapa pun yang bela Ahok adalah T***L... ADP,” tulisnya.

Seorang pengguna menggunakan akaun @Hotmariasitang4 beranggapan Ahmad bertindak demikian disebabkan dirinya "kurang mendapat kasih sayang".

“Ngeri, bapak ini tidak cukup kasih sayang, dia hanya tahu mencela saja. Semoga pak Dhani diampuni,” tulisnya.

Vokalis kumpulan Dewa itu sememangnya diketahui umum menyimpan perasaan benci terhadap kepimpinan Ahok yang disifatkannya seperti kacang lupakan kulit.

Ahok pernah menolak pelawaan calon presiden pada 2014, Prabowo Subianto, untuk membantunya dalam mempromosi kempen politik.

Pada 2014, Ahmad Dhani pernah menyatakan sokongan teguh buat bekas jeneral itu dalam kempen pilihan raya presiden ketiga Indonesia yang diadakan pada 9 Julai.

Di mata Ahmad Dhani, sesiapa yang tidak menyokong Prabowo dianggap bukan lelaki sejati.

“Hampir setiap lelaki sejati mengundi Prabowo, jika tidak kejantannya harus dipersoalkan,” katanya.

Melalui satu lagi tweet Ahmad Dhani menulis: "BimBim Slank Iwan Fals kok diem (diam) aja gak (tidak) bela Ahok?"

Pada pilihan raya presiden 2014 Bim Bim dan Iwan adalah penyokong Joko Widodo manakala Ahmad Dhani berpihak kepada Prabowo.

Penyanyi Laskar Cinta itu mendakwa Ahok seorang lelaki yang tidak pandai menghargai wanita selain suka menunjuk-nunjuk.

Setakat ini belum ada reaksi balas dibuat Bimbim atau Iwan terhadap Ahmad Dhani.

Lihat Komen