Zed Zaidi pertahan jawatan Presiden Seniman

(Dikemaskini )

Pelakon Zed Zaidi berjaya mempertahankan kerusi Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) apabila menang tanpa bertanding bagi jawatan itu untuk penggal 2016 hingga 2019.

Pemilihan tersebut dibuat semasa Mesyuarat Agung (AGM) Seniman ke-15 di Pawagam Mini P.Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di Hulu Kelang, Selangor hari ini.

Seramai 113 ahli hadir dalam mesyuarat itu sekaligus melayakkan ia dijalankan mengikut perlembagaan persatuan.

Selain presiden, turut dipertandingkan adalah jawatan timbalan presiden, setiausaha agung, penolong setiausaha, ahli jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira.

Setiausaha Agung Seniman yang baru, Lt (B) Hafiz Nafiah dalam kenyataannya mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli-ahli yang hadir untuk memilih kepimpinan baru Seniman bagi penggal akan datang.

Beliau juga mengucapkan tahiah kepada Zed Zaidi, atau nama sebenarnya Rozaidi Abd Jamil kerana terpilih sekali lagi mengetuai persatuan itu.

"Ini adalah hasil daripada gerak kerja beliau yang membawa pelbagai perubahan terhadap persatuan serta dapat dinilai oleh ahli-ahli Seniman sendiri," katanya.

Zed pernah memegang jawatan presiden Seniman ketika AGM ke-14 pada 2012 sebelum ia dibatalkan atas perintah mahkamah.

Ia berikutan lima artis veteran memfailkan saman terhadap Seniman termasuk pemimpin-pemimpinnya bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengisytiharkan AGM itu sebagai tidak sah.

Zed bagaimanapun kembali mendapat kepercayaan ahli Seniman apabila mendapat 109 undian pada AGM ke-14 persatuan itu pada 27 September 2014.

Selama memegang jawatan itu, Zed pernah mencetuskan beberapa kontroversi seperti mempertikaikan kemasukan artis luar  dan membantah kemenangan pelakon Aaron Aziz di Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

Share