malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Syair Melayu Nusantara dan ungkapan keperitan zaman
ADS

Apakah peranan puisi Melayu lama seperti pantun, gurindam, seloka, syair, teromba, talibun dan lain-lain itu? Jika rajin mencari, kita akan jumpa bahawa setiap genre puisi lama ini punya peranan dan keistimewaan yang tersendiri dan khusus.

Sebagai contoh, teromba adalah “puisi adat” asal Minangkabau yang mencatatkan undang-undang adat dan peraturan melalui dalam puisi; kata-kata yang ditulis indah, disusun dalam bentuk yang indah.

Antara yang mudah diingat hingga kini termasuklah kata-kata seperti “..adat tak lapuk dek hujan, tak lokang dek paneh..”

Jika kamu ada menonton filem hebat Indonesia, Tenggelamnya Kapal van der Wijck yang diadaptasi daripada novel Hamka, di sana ada banyak ungkapan teromba yang dituturkan orang tua-tua para pemuka adat di sana.

Orang Melayu menyimpan khazanah ilmu mereka yang kaya dalam satu peranti dipanggil puisi. Pada zaman kesusasteraan lisan - kerana alat dan sistem tulisan belum ditemukan - pelbagai set ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang ini perlu disimpan dan diarkib agar tidak hilang apabila generasi berganti.

Maka para bijak pandai berjiwa halus ini menyimpannya dalam kata-kata berseni agar dapat diingati anak cucu dengan kaedah yang lebih santai dan mudah.

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Pantun di atas yang direka entah siapa, bagi kita sekali pandang mungkin bermaksud satu pesanan agar jangan melupakan barang lama apabila kita sudah mendapat barang baru.

Itulah yang dinyatakan pada rangkap "maksud” pantun berkenaan. Tapi jika tidak diabaikan rangkap “pembayang”, kita bakal didedahkan dengan ilmu botani Melayu iaitu apabila pokok senduduk tidak lagi berbunga, maka tibalah musim buah langsat.

Syair mungkin tiba agak lewat ke alam Melayu. Dikatakan ia dibawa dari Timur Tengah. Tetapi sifat bangsa yang terbuka, memudahkan budaya asing meresap dan berasimilasi sehingga ia dijadikan sebahagian daripada budaya bangsa Melayu.

Mudahnya syair diserap masuk ke budaya Melayu adalah apabila rangkap-rangkap yang membinanya mengambil bentuk pantun. Kelebihannya adalah apabila ia dilagukan dengan irama tersendiri, sekaligus membawa satu perspektif baru dan memperkaya khazanah budaya Melayu.

Seperti genre puisi Melayu lama lain, syair turut berperanan menyimpan ilmu bangsa.

Tercarik koyak-rabak

Syair Perahu karya Hamzah Fansuri sebagai contoh paling mudah, ia mengajar ilmu agama lewat karya kreatif, menggambarkan perjalanan kehidupan manusia seperti sebuah perahu yang melayari samudera luas.

Begitulah peranan puisi lama pada masa lalu yang begitu dekat dengan jiwa orang Melayu. Dan walau tiada pemacu pena (pendrive) atau komputer untuk menyimpannya, ia mampu bertahan sekurang-kurangnya sehingga alat dan sistem tulisan ditemui.

Renaissance, Revolusi Perindustrian, dasar imperialisme dan hal-hal yang berlaku di belahan dunia sebelah barat telah mengubah wajah dunia termasuk alam Melayu.

Budaya kotor dan kasar yang dibawa mereka ke rantau ini telah mencarik sehingga koyak-rabak.

Dan pada hari ini, peranan puisi sudah jauh berubah. Ia tidak lagi digunakan untuk menulis undang-undang perdagangan, misalnya. Atau bayangkan Perlembagaan Malaysia ditulis dalam bentuk pantun atau syair.

Memikirkannya sahaja akan mengundang gelak tawa orang-orang yang sinis dan para pembenci. Peranan puisi pada hari ini telah jatuh sekurang-kurangnya dari alat rujukan kehidupan sehari-hari kepada wahana hiburan.

Seni dan kebudayaan telah ditakrif semula sehingga tersudut kepada aktiviti-aktiviti pementasan seperti tarian, teater dan seumpamanya saja.

Dapat nafas baru

Puisi tidak lagi digunakan sebagai panduan untuk membina rumah, bercucuk tanam, memilih pokok yang boleh ditebang di dalam hutan demi melestari alam sekitar dan sebagainya.

Puisi moden lebih buruk nasibnya. Ia hanya dideklamasikan pada majlis-majlis kecil sebagai pelengkap acara, atau di majlis besar namun pada ruang yang kerdil.

Berbanding puisi moden seperti sajak, syair lebih jauh dilupakan. Sajak sekurang-kurangnya mendapat sentuhan indie dan hipster, telah mendapat ruang sendiri dalam scene anak muda.

Buku-buku sajak 'laku keras'. Syair belum mendapat darjat itu. Kita belum ada AADC (Ada Apa Dengan Cinta) versi syair untuk melonjakkan genre itu ke tahap setinggi sajak.

Tapi pada 22 dan 23 September lalu, sekonyong-konyong syair seperti mendapat nafas baru dengan penganjuran Syair Alam Melayu Nusantara di Kuala Lumpur, oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universii Sains Islam Malaysia (Usim) dan Akademi ND Lala sempena program DiverseCity 2016.

Program dua hari itu mengumpulkan penggiat syair dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura. Ia bermula dengan seminar dan kemuncaknya adalah pada hari kedua apabila syair dipersembahkan dalam satu bentuk yang menarik – teater.

Penulisnya, Syahidatul Munirah mengambil sejarah kesultanan Melayu Melaka sebagai latar penceritaan. Rangkap-rangkapnya skripnya disusun secara kreatif menurut kronologi dan disesuaikan dengan babak-babak lakonan dan irama syair yang dipilih.

Penonton nyata terhibur dengan persembahan pendendang syair dari negara-negara peserta yang melantunkan suara merdu mereka dengan penuh penghayatan.

Salah seorang pendendang malah menitiskan air mata dan bersyair dalam keadaan teresak-esak sewaktu mendendangkan rangkap syair menceritakan kisah Sultan Alauddin Riayat Syah diracun.

Persembahan selama kira-kira dua jam itu berjaya 'memaku' penonton yang hampir memenuhi Auditorium DBP sejak jam 8.30 malam.

Jika selama ini kita menyangka syair hanya punya satu irama seperti yang dipelajari di sekolah rendah, kita mendapat “kejutan” pada malam itu apabila mengetahui rupa-rupanya irama syair itu pelbagai dan rencam.

Pada malam itu saja hampir 30 irama berbeza didendangkan termasuk irama Melaka, Sarawak, Brunei, Dumai dan Negeri Sembilan.

Ternyata syair jauh lebih menarik daripada apa yang pernah kita bayangkan selama ini. Ditambah dengan permainan muzik, sistem bunyi dan cahaya yang baik, persembahan syair malam itu sememangnya bertaraf tinggi dan wajar dibanggakan.

Kegemilangan puisi Melayu lama zaman dahulu kala bagaimanapun tidak akan dapat dikembalikan dengan hanya satu penganjuran program.

Zaman berubah sangat banyak dalam tempoh relatif singkat. Kini bukan lagi zaman kesultanan Melayu Melaka sebaliknya zaman 1MDB - hakikat perit yang perlu kita telan tanpa pilihan.

Mengangkat puisi lama termasuk syair ke tempat sepatutnya perlu dibuat dalam pertimbangan zaman ini. Syair-syair baru bertema sosio-ekonomi-politik zaman ini perlu ditulis dan didendangkan.

Keperitan zaman ini perlu berani diungkapkan dalam syair.

Walau dinyanyikan oleh pendendang bersuara paling lunak pun, rangkapnya harus tegas mengangkat suara zaman dan manusia yang menghuninya.


HAIZIR OTHMAN pemuda Melaka yang kini menetap di Kelang dan bekerja dalam persekitaran buku-buku akademik di sebuah kolej swasta di Subang Jaya


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen