malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ifa titip doa pada rakan ke Kaabah
ADS

Ada sesuatu yang belum termakbul dan terbuku di hati Ifa Raziah setiap kali dia menyambut hari lahir.

Menurut Ifa, dia masih berdoa agar diperkenan menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah di situ suatu hari nanti.

“Setiap tahun perancangan dibuat untuk pergi ke tanah suci, tetapi ada saja halangan.

“Saya perlu menerima kenyataan, masih belum ada rezeki untuk ke sana," katanya kepada media di Kuala Lumpur semalam.

Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha ditemui pada majlis pelancaran single Terus Terang. Lagu itu dicipta oleh DJ Fuzz turut menampilkan kumpulan rap Lawa Nie Geng.

Turut diadakan adalah sambutan ulang tahun kelahiran ke-41 untuk Ifa.

Kata Ifa walaupun belum berpeluang melaksanakan hajat itu, pemegang gelaran Diva Dangdut berkenaan tidak lupa untuk ‘mengirimkan’ doa kepada kenalannya yang mendapat peluang berangkat ke Mekah.

“Kepada kawan-kawan itu, saya meminta mereka berdoa di depan Kaabah agar saya dikurniakan kesempatan ke sana juga pada masa akan datang. Insyaa-Allah.

“Tetapi saya tahu, proses untuk mengerjakan haji mengambil masa lama. Kalau umrah lebih cepat, mungkin minggu depan pun boleh pergi kalau sudah ditakdirkan rezeki itu ada,” katanya.

Selain tidak berputus semangat Ifa turut berkongsi cita-cita untuk berjaya dalam bidang perniagaan pula.

Menceritakan niatnya itu, Ifa berkata sebolehnya dia mahu menjadi usahawan berjaya yang mengeluarkan produk untuk semua golongan.

Memang boleh dikatakan Ifa adalah artis serba boleh. Daripada seorang penghibur, pengacara hingga duta produk.

Namun, dengan kelebihan begitu Ifa menegaskan dia bukan tamak tetapi hanya meneruskan azam dan semangat juang yang tinggi dalam kehidupan.

“Ramai orang di sekeliling berjaya dan berharta tetapi masih juga bekerja keras.

“Itulah yang saya buat selagi belum mengecapi kejayaan yang diidamkan,” katanya.

Lihat Komen