malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kumpulan nasyid, Hillary Ang ajak peminat 'bangkit'
ADS

Kira-kira 20 tahun selepas memulakan fenomena nasyid di negara ini, tiga kumpulan bergabung untuk kali pertama di pentas berprestij Istana Budaya (IB).

Konsert 3 Kejora Bersatu yang dijadual berlangsung selama dua malam mulai 7 Oktober ini bakal menampilkan tiga pelopor nasyid moden tanah air iaitu Rabbani, Hijjaz dan Brothers.

Dengan mengetengahkan tema Qum.. Fa Anzir (Bangkitlah dan Beri Peringatan) menjadi satu usaha penganjur berdakwah menyeru orang ramai berhijrah ke arah lebih baik.

Ia menjadi lebih istimewa kerana persembahan pada malam berkenaan turut diserikan oleh petikan gitaris disegani, Hillary Ang.

Turut membuat kemunculan khas ialah bekas vokalis Raihan, Nazrey Johani; Zulfadhli Afad dan kumpulan COV (Colour of Voices),

Raihan adalah satu lagi kumpulan nasyid kontemporari yang mencipta nama pada era sama dengan Rabbani.

Menurut vokalis Rabbani Azadan Abdul Aziz peluang mengadakan persembahan di IB bersama Hijjaz serta Brothers itu boleh dianggap sebagai pengiktirafan kepada kumpulan nasyid di negara ini.

"Insya-Allah kami akan berusaha memberikan persembahan yang terbaik,” katanya.

Rabbani adalah antara kumpulan nasyid moden terawal memeriahkan muzik arus perdana dengan membawa lagu berentak kontemporari pada awal 2000.

Walaupun begitu kumpulan itu sebenarnya sudah wujud lebih lama, iaitu penghujung 1990-an.

Antara lagu popular mereka ialah Pergi Tak Kembali, Intifada, Iqrar dan Apa Yang Kau Tahu.

Vokalis Brothers Yasin Sulaiman pula berharap konsert itu berjalan lancar selain dapat mengembalikan kegemilangan lagu berunsur ketuhanan.

Menerusi lagu didendangkan Brothers seperti Teman Sejati, Satu Perjuangan, dan Man Ana, genre nasyid kontemporari mulai diberi perhatian.

Konsert 3 Kejora Bersatu yang dianjurkan oleh Kay Management & Services itu juga diadakan bersempena meraikan kedatangan 1 Muharam 1438.

Sementara itu vokalis Hijjaz, Munif Ahmad berkata persembahan pada malam itu bukan menjurus kepada hiburan semata-mata, sebaliknya terdapat elemen positif untuk bawa pulang penonton.

Katanya, konsert berkenaan amat penting buat kumpulan itu kerana ia menunaikan hasrat mereka yang terpendam sekian lama.

“Anggota Hijjaz mempunyai impian masing-masing dalam memperjuangkan irama nasyid iaitu untuk mengangkat karya tempatan ke tahap lebih tinggi dan membanggakan.

“Bagi kami, jika impian dan harapan seperti itu tiada, maka tiadalah masa depan untuk lagu yang kami sampaikan,” katanya yang pernah mempopularkan lagu seperti Keizinan-Mu, Pelita Hidup dan Rindu.

Lihat Komen