malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Namewee: Biar saya seorang pikul tanggungjawab
Diterbitkan:  Aug 27, 2016 7:03 PM
Dikemaskini: 11:04 AM
ADS

Penyanyi rap Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, berkata dia bertanggungjawab penuh terhadap muzik video kontroversi "Oh My God".

“Oh My God adalah runut bunyi asli untuk filem The Big Power.

“Saya bertanggungjawab penuh terhadapnya, termasuk lirik, lagu dan kandungan video muzik,” katanya.

Katanya, kumpulan Taiwan Nine One One hanya menyanyi dan membuat persembahan untuk video itu.

“Jika kamu mahu seseorang dipertanggungjawabkan, biarlah saya seorang,” tulisnya dalam bahasa Cina di Facebook.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas polis Malaysia mahu bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menyoal siasat band Taiwan itu.

Nine One One yang mempunyai tiga orang anggota beraksi bersama-sama Namewee dalam video yang dirakam di beberapa rumah ibadat.

Namewee ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 21 Ogos lalu dan direman empat hari.

Dia dibebaskan kelmarin.

Namewee mempertahankan video muziknya itu bertujuan mempromosi keharmonian kaum dan bukan anti-Islam.

Dia juga mendakwa mendapat kebenaran untuk membuat rakaman di rumah-rumah ibadat berkaitan, walaupun terdapat laporan polis berbeza daripada pihak masjid di Pulau Pinang.

Beberapa laporan polis dibuat terhadapnya, yang antaranya menyatakan tidak puas hati dengan penggunaan kalimah Allah dengan cara tidak sopan dan dakwaan memaparkan umat Islam sebagai pengganas.

Video itu turut memaparkan aksi lelaki berpakaian ala Arab memain daun pakau selain terdapat penggunaan bunyi azan.

Namewee disiasat bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan berkaitan dakwaan mencemarkan tempat ibada dengan niat menghina sesebuah agama.

Lihat Komen