malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Jamal terkenang kongsi pentas sama Eddy Silitonga
ADS

Peluang bekerjasama bersama mendiang Eddy Silitonga meninggalkan seribu satu kenangan manis buat Raja Pop Malaysia Datuk Jamal Abdillah.

Menurut Jamal, 57, walaupun detik gembira bersama Eddy cuma dapat dinikmati bersama selama dua minggu, hingga kini dia masih terbayang-bayang saatnya bersama penyanyi yang berasal dari Permatang Siantar, Sumatera Utara Indonesia itu.

Katanya, meskipun berada selama dua minggu di Malaysia, persembahan Konsert Nostalgia itu hanya memakan tempoh selama empat hari.

Konsert berkenaan yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada Ogos 2014 menampilkan Eddy yang turut dikenali sebagai bintang pop legenda sebagai jemputan khas.

“Eddy didapati sebagai seorang yang merendah diri, sungguh kelakar dan langsung tidak lokek berkongsikan tip penjagaan suara dengan saya.

“Berkongsi satu pentas di Istana Budaya bersama Eddy menjadi antara kenangan terindah buat saya apabila lagunya yang saya rakam semula dapat dinyanyikan bersama tuan empunya badan.

“Pada malam yang berlangsung selama empat hari itu kami turut menyanyikan Lancang Kuning dan Bunga Pujaan yang pernah dipopularkan Eddy,” katanya kepada Malaysiakini.

Eddy yang memiliki pelbagai kebolehan itu diberitakan meninggal dunia kelmarin ketika bersusia 65 tahun akibat komplikasi diabetis dan masalah jantung.

Tak percaya awalnya

Dua minggu sebelum itu, mendiang dikejarkan ke Hospital Fatmawati, Jakarta Selatan selepas mengadu sesak nafas.

Seorang lagi penyanyi Malaysia yang pernah mempopularkan lagu Eddy adalah Aishah - Syurga di Bawah Telapak Kaki Ibu.

Selain Lancang Kuning dan Bunga Pujaan, lagu lain Eddy yang sering diperdengarkan di Radio Malaysia adalah Bunga Tanjong dan Jatuh Cinta.

Menurut Jamal, paling mengujakan mengenai Eddy adalah bakatnya boleh mencipta lagu secara spontan.

Katanya, Konsert Nostalgia itu menjadi detik penting buat Jamal apabila buat pertama kali dia berpeluang bersua muka dengan Eddy.

“Lagu-lagu Eddy saya minati sejak 70-an lagi dan selepas berkemampuan menganjurkan konsert saya menjemput orang yang saya minati untuk menjayakan persembahan.

“Pada awalnya mendiang tidak percaya dengan tawaran yang diberikan tetapi bersetuju selepas menerima duit deposit yang dimasukkan ke akaun banknya.

“Saya menguruskan segala hal berkaitan membawa Eddy ke sini termasuk penginapan dia sekeluarga,” katanya.

Jamal yang terasa dengan kehilangan Eddy berkata pemergian mendiang tidak disangka-sangka.

“Saya berasakan dia masih terlalu muda untuk meninggalkan peminat sedangkan usianya hanya 10 tahun beza saja dengan saya.

"Bagaimanapun saya berpuas hati kerana sempat membawa penyanyi yang diminati itu datang ke sini,” katanya.

Lihat Komen