malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Keakraban hubungan bagai adik-beradik membuat Faizal Hussein bersedia menerima tawaran berlakon daripada Pekin Ibrahim walaupun pengarah itu masih muda.

Alasan Faizal agak mudah. Siri pengalaman diraih bersama di lokasi penggambaran sejak empat tahun dulu membolehkan dia faham benar kemampuan Pekin untuk menjayakan filem kedua arahannya, KL Wangan.

Malah Faizal mengakui keyakinan diberikan kepada Pekin dibuat berdasarkan kredibiliti dan potensi yang dimiliki pengarah baru berbakat besar itu.

“Saya melihat Pekin sebagai generasi muda yang amat kreatif selain mempunyai pencapaian cemerlang dalam industri seni tempatan.

“Tidak timbul istilah ragu-ragu atas keupayaan Pekin," katanya.

Faizal, 49, mengakui hubungan akrab mereka sejak bersama-sama menjayakan Bunohan membolehkan dia mengenali kemampuan Pekin dengan lebih dekat.

Sikap terbuka Faizal itu ditunjukkan ketika beberapa pihak mempersoalkan kredibiliti Pekin dan karyanya Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit yang menerima lapan pencalonan dalam Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) yang akan berlangsung pada 3 September ini.

Karya Pekin atau nama asalnya Mohd Iznan Ibrahim tersenarai menerusi kategori filem terbaik, pengarah baru terbaik, lakon layar terbaik, cerita asal terbaik, sinematografi terbaik, penataan bunyi terbaik, pelakon wanita baru terbaik (Falisha Crosley) dan pelakon lelaki terbaik FFM28.

Tak kering idea

FFM28 sebelum ini mencetuskan konflik apabila pengasingan kategori membabitkan bahasa Malaysia dan bukan bahasa Malaysia diwujudkan - atas alasan mahu memartabatkan bahaa kebangsaan.

Bagaimanapun, isu terbabit dianggap selesai apabila Kementerian Komunikasi dan Multimedia memutuskan tiada pengasingan bahasa malah menjadikan Anugerah Filem Terbaik Nasional sebagai trofi utama FFM28.

Menurut Faizal, Pekin memenangi hatinya menerusi sikap dan penelitian yang ditunjukkan semasa menghasilkan filem.

“Saya kagum dengan ketekunan dan usaha ditunjukkan Pekin dalam membikin filem, dia umpama versi muda Datuk Rosyam Nor.

“Dia begitu taasub dengan filem berkisarkan perlumbaan jalanan seperti ini dan hasilnya membolehkan dia mendapat tajaan daripada syarikat pemotoran antarabangsa.

“Oleh itu, tidak salah sekiranya memberi dia peluang kepada Pekin kerana dia seorang pengarah baru yang tidak kering idea,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Faizal turut terbabit dalam produksi Tombiruo: Penunggu Rimba sebagai Pondolou.

Filem berkenaan adalah sebuah karya adapatasi dari penulis novel terkenal Ramlee Awang Mushid dan diarahkan oleh Nasir Jani.

Lihat Komen