malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Penerbit janji bayar gaji kepada kakitangan
ADS

Penerbit filem, Three Production Sdn Bhd berjanji membuat bayaran akhir kepada kakitangan yang terlibat dalam pembikinan filem 'Come Play With Us' tetapi berharap mereka akan menunggu dengan sabar.

Bagaimanapun, syarikat itu mempertikaikan jumlah tuntutan bayaran gaji berkenaan.

Kakitangan syarikat itu sebelum ini mendakwa tidak mendapat gaji selama tujuh bulan dengan jumlah terkumpul sebanyak RM500,000.

Dalam sidang akhbar semalam, pengasas syarikat itu Stanley Law menegaskan hanya 29 krew terlibat dan jumlah yang tertunggak tidak melebihi RM400,000.

Law berkata dakwaan penipuan dan kecurangan yang dibuat oleh kakitangan syarikat itu kepada media pada 17 Ogos lalu adalah "berniat jahat".

Beliau mengulangi bahawa syarikat itu tidak mampu menyelesaikan bayaran gaji berikutan pelabur Singapura tidak membuat pembayaran kepada mereka seperti yang dijanjikan.

"Kami telah mengemaskini melalui kumpulan WhatsApp dan memberitahu krew bahawa penerbit Peter Poon telah memfailkan saman terhadap pelabur itu di Mahkamah Tinggi di Singapura.

"Jadi mereka tahu tentang tindakan yang kita ambil sebelum mereka mengadakan sidang akhbar pada 17 Ogos," katanya sambil menambah syarikat itu ikhlas untuk menyelesaikan masalah berkenaan tetapi hanya memerlukan masa berbuat demikian.

Law juga mendakwa individu tertentu melakukan sabotaj terhadap Three Production.

Ini kerana selepas tayangan perdana filem The Kid From The Big Apple yang juga diterbitkan syarikat berkenaan, wartawan bertanya mengenai isu tersebut.

'The Kid From The Big Apple' dicalonkan untuk sembilan anugerah di Festival Filem Malaysia ke-28.

'Kami tak paksa mereka bekerja'

Law berkata syarikatnya tidak memaksa kakitangan untuk terus bekerja selepas memberitahu mereka tentang masalah mengenai kewangan.

"Saya memberitahu mereka bahawa mereka boleh berhenti kerja jika mereka bimbang tentang gaji mereka, tetapi ramai krew setuju untuk teruskan. Kami tidak memaksa mereka.

"Kami juga memberitahu mereka kami akan menambah 15 peratus kepada pembayaran terakhir jika mereka terus bekerja, dan 90 peratus daripada mereka bersetuju pada masa itu," jelas Law.

Beliau berkata syarikat itu kehabisan aliran tunai dan dia sendiri terpaksa melabur RM500,000 untuk filem 'Come Play With Us'.

Sementara itu, peguam Three Production Loi Kwong Fon menegaskan perkataan "tunggakan gaji" yang digunakan media adalah tidak tepat.

"Saya ingin menjelaskan bahawa perkataan itu salah. Gaji yang dimaksudkan untuk pekerja. Bagaimanapun, kakitangan menandatangani kontrak bebas dengan syarikat.

"Saya harap semua orang boleh menggunakan perkataan yang betul untuk mengelakkan sebarang salah faham," kata Loi.

Selain laporan polis pada 17 Ogos lepas, kakitangan syarikat itu juga memfailkan aduan dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) melalui Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia (PROFIMA).

Lihat Komen