malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Sebutan permohonan komital bekas isteri Awie 20 Oktober
ADS

Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan 20 Oktober ini untuk sebutan permohonan komital difailkan Rozana Misbun terhadap bekas suaminya, Awie, vokalis kumpulan rock Wings, kerana gagal mematuhi perintah mahkamah.

Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Nur'Azura Jamaluddin menetapkan tarikh itu berikutan Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, selaku responden telah memfailkan semakan berhubung perintah itu di Mahkamah Rayuan Syariah.

Rozana pada 24 November tahun lepas memfailkan permohonan tersebut kerana Awie gagal mematuhi perintah hak penjagaan sementara anak sulung mereka, Putra Ahmad Merrah, 9, yang sepatutnya berada di bawah jagaannya (Rozana), dan juga melanggar perintah untuk membayar dua kos guaman masing-masing berjumlah RM900 dan RM5,000 kepada Rozana.

Sepatutnya hari ini mahkamah memberikan keputusan berhubung permohonan komital itu bagaimanapun menangguhkannya kepada 20 Oktober kerana menunggu keputusan semakan berhubung perintah itu di Mahkamah Rayuan Syariah yang difailkan Awie.

Peguam syarie Mohd Syafiq Norizan yang mewakili Awie ketika ditemui di luar mahkamah di Kuala Lumpur berkata, Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat keputusan yang melangkaui bidang kuasa Mahkamah Rayuan.

Rozana, 38, yang juga adik kepada pelakon Haliza Misbun hadir bersama peguam yang mewakilinya, Nor Azmi Mohd Arif.

Dua lagi anak hasil perkahwinan Awie dan Rozana iaitu Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Putri Qaseh Antasha, 6, kini berada bawah penjagaan Rozana selepas mahkamah memberikan hak jagaan sementara terhadap Rozana pada 27 Januari tahun lalu.

Pada 15 Ogos lepas, Mahkamah Rendah Syariah memerintahkan Awie membayar nafkah perbelanjaaan RM4,000 sebulan kepada dua anaknya itu yang kini di bawah jagaan bekas isterinya, Rozana.

Mahkamah memerintahkan RM3,000 dibayar termasuk perbelanjaan makan, minum, pakaian, pelajaran dan kesihatan manakala RM1,000 bagi perbelanjaan tempat tinggal Putra Ahmad Rezzki, dan Puteri Qasseh Antasha.

Pasangan itu bernikah di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak.

Pelakon utama filem Sembilu itu juga pernah mendirikan rumah tangga dengan Arni Nazira Anuar, seorang penyanyi, namun bercerai pada 16 Oktober 2006 dan hasil perkahwinan itu, mereka mempunyai dua orang anak iaitu Putri Aleeya Antasha, 16, dan Putri Aleefa Antasha, 14, yang kini di bawah jagaan Awie.

- Bernama

Lihat Komen