malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ahmad Dhani rai merdeka atas runtuhan kampung
Diterbitkan:  Aug 19, 2016 10:16 AM
Dikemaskini: 2:23 AM
ADS

Sempena sambutan hari kemerdekaan ke-71 Indonesia penyanyi Ahmad Dhani mengambil inisiatif mengepalai aktivis sosial dan ratusan penduduk kampung sebagai mengenang jasa pahlawan yang terkorban.

Tidak seperti kebanyakan orang dia memilih tapak petempatan yang diratakan oleh pihak berkuasa Jakarta.

Lokasi pilihan orang kuat kumpulan Dewa 19 itu kelmarin ialah Kampung Aquarium di Jakarta Utara.

“Saya yakin upacara seperti ini membawa erti mendalam kepada rakyat Indonesia kerana mereka dapat memperingati jasa pahlawan yang berjuang demi negara,” katanya.

Menurut Ahmad Dhani, peserta sambutan itu juga dianggap waris pahlawan yang mengorbankan nyawa demi memerdekakan Indonesia.

“Saya yakin ada antara kita yang hadiri di sini moyangnya terdiri daripada pahlawan yang membela nasib Indonesia, terutama yang membiayai upacara itu,” katanya.

Melanggar undang-undang

Malah bagi Ahmad Dhani memperingati kemerdekaan di tempat begitu lebih bermakna berbanding acara rasmi seperti diadakan di Istana Presiden.

Pun begitu, dalam ucapan Ahmad Dhani dia ternyata sedikit kesal dengan erti kemerdekaan yang masih belum tercapai sepenuhnya di kampung itu.

Katanya, hingga kini masih ramai warga Kampung Akuarium yang menagih simpati pihak berkuasa akibat diusir dari petempatan mereka.

“Perkara yang berlaku tidak sesuai dengan undang-undang,” katanya.

Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan dari Belanda pada 17 Ogos 1945 dan ia dilakukan Presiden Sukarno.

Sebenarnya dalam memilih lokasi untuk sambutan kemerdekaan itu, Ahmad Dhani mempunyai alasan tertentu.

Terdahulu, di Kampung Akuarium itu pernah terjadi pengusiran besar-besaran oleh Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok (gambar).

Lapor CNN Indonesia, penduduk di kala itu mendakwa sudah menduduki petempatan mereka sejak zaman Belanda.

Pengusiran atau perobohan penempatan di Indonesia sudah berlaku sejak zaman penjajahan, ia kemudian diteruskan oleh Presiden Sukarno dan Gabenor Ali Sadikin.

Hari peringatan kemerdekaan ke- 71 itu dihadiri oleh anggota Kelompok Serikat Pekerja Indonesia dan ratusan anggota Forum Betawi Rempug.

Manakala aktivis sosial yang turut hadir adalah Ratna Sarumpaet, Ridwan Saidi, Said Iqbal dan Egi Sujana.

Di sekitar Kampung Akuarium pula kelihatan beberapa sepanduk yang tertera tulisan bantahan terhadap pemerintah Jakarta ke atas pengusiran sebelum ini seperti: “#JakartaMelawan" dan "Kembalikan Kampung Akuarium untuk Warga".

Ahmad Dhani pernah menyatakan minat untuk bertanding dalam pilihan raya gabenor Jakarta mencabar Ahok bagaimanapun rancangan itu dipercayai dibatalkan kerana memerlukan dana yang sangat besar.

Lihat Komen