malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Dukun Doktor Dani ubati rindu peminat Yus Jambu
ADS

Tanggal 30 November tahun lalu menjadi detik memilukan buat industri hiburan tanah air apabila dikejutkan dengan pemergian Yusry Edoo atau lebih dikenali dengan Pak Yus Jambu.

Hari ini bekas juara Raja Lawak musim pertama itu 'kembali' menemui peminat yang merindui aksi dan lakonannya.

Walau jasad dikandung tanah, selebriti kelahiran Perlis itu sempat meninggalkan lakonannya yang terakhir melalui air tangan pengarah dan pelakon Sabri Yunus, Dukun Doktor Dani.

Sebuah filem komedi ringan arahan pertama anak Kelantan itu pastinya memberi nilai nostalgia tersendiri buat peminat Yus.

"Secara kebetulan selepas kami habis penggambaran filem ini, kita dikejutkan dengan pemergian Yus. Secara kebetulan juga ini menjadi filem terakhir arwah Yus," kata Sabri ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Dukun Doktor Dani membariskan pelakon Singapura Taufik Batisah memegang watak utama Dr Dani, Fasha Sandha (Dr Lily), Khatijah Tan (Mak Siti), Amirul Affendi (Lepat), Yus Edoo (Chot), Raisha Rizrose (Fikha), Sabri Yunus (Dukun Sudin) dan Sani Sudin (Penghulu).

Menurut Sabri, watak Chot yang dipegang Yus sangat berbeza dengan penampilan komedi dalam lakonan lain sebelum ini.

Doktor jadi dukun

"Dalam filem ini arwah memegang watak antagonis iaitu watak yang menjadi penentang (musuh) kepada pelakon utama. Walaupun orang lain bangga dengan kejayaan Dr Dani sebagai doktor, tetapi Chot watak yang iri hati kepada doktor berkenaan.

"Dia membawakan watak serius dan bukan komedi seperti yang kita sering kali lihat di kaca televisyen," katanya.

Dukun Doktor Dani mengisahkan Dr Dani yang mengambil keputusan untuk melepaskan kerjayanya selepas gagal dalam pembedahan pertama, apabila pesakitnya meninggal dunia.

Tambah Sabri, susulan itu Dr Dani meletak jawatan dan pulang ke kampung namun ia mengecewakan ibunya yang berhabis duit membiayai pengajiannya sebelum itu.

"Selepas itu di kampung Dr Dani bekerjasama dengan Dukun Sudin melakukan tugas pengurusan praktik rawatan tradisional sehingga membawa perubahan dan khidmat dukun semakin menggalakkan.

"Tetapi keadaan berubah apabilan Dukun Sudin tiba-tiba meninggal dunia dan Dr Dani terpaksa mengambil alih tugas dukun. Itu menambahkan lagi kekecewaan ibunya," katanya.

Mengulas mengenai penampilan Yus, Sabri berkata, filem tersebut secara tidak langsung memberi peluang kepada peminat pelawak terbabit melihat lakonan terakhirnya.

"Memang kita juga dedikasi untuk peminat-peminat arwah, boleh tengok lakonan terakhirnya dan kali ini dia sangat berbeza berbanding sebelumnya.

"Filem walaupun sebuah komedi ringan, ada perkara-perkara besar yang penonton boleh lihat dan ambil pengajaran," jelasnya.

Lihat Komen