malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Lapangkan dada, buka minda nikmatilah Kabali
ADS

Kabali!

Dengan trailer mencecah 17.1 juta tontonan, tidak hairanlah ada perasaan membuak-buak untuk menonton keseluruhan filem berkenaan.

Ditambah pula ia berlatarbelakangkan Malaysia pada hampir keseluruhan filem.

Empat rakyat Malaysian di Doha - seorang Melayu, seorang Cina, seorang India dan seorang Sikh - mengambil masa hari ketiga cuti untuk bersama-sama menonton Kabali.

Mereka membelanjakan tiket QAR35 seorang untuk mendapatkan tiket. Ia bersamaan dengan nilai RM39!

“Kau semua jangan harap filem ini macam filem lain Rajinikanth,” pesan lelaki berbangsa India itu.

Sejujurnya, saya tak tahu apa yang saya harapkan ketika itu. Berdasarkan pengalaman lalu, mengharapkan sesuatu dari filem akan menyebabkan anda akan kecewa di penghujungnya.

Justeru lebih baik masuk pawagam dengan fikiran kosong dan tontonlah tanpa halangan daripada sangkaan awal.

Kabali menghidangkan tema pembalasan dendam seorang samseng atas pembunuhan keluarganya sebelum dia ditangkap dan dipenjarakan selama 25 tahun.

Itu tema utama. Selain itu ia juga menghidangkan konflik mengenai bangsa India yang 'ditekan' di Malaysia sejak era British.

Kabali membawa simbol suara lantang dan berani yang mahu keluar dari kekangan tersebut.

Sepanjang filem ini, Kabali sentiasa berpakaian kemas - membuat kita berfikir, apakah signifikasinya?

Hujung filem ini dapat diagak dan ia adalah pernyataan bahawa anda boleh menjadi sesiapa pun yang anda mahu tanpa perlu prejudis, dipengaruhi kasta atau bangsa.

Kerana itu semua adalah mainan kapitalis yang enggan mengambil tahu hal-hal orang kecil seperti kita.

Apa yang mereka ingini cuma kuasa dan wang. Mungkin seperti 1MDB itulah.

Muzik sakitkan telinga

Penamat cerita Kabali (khabarnya ia berbeza di Malaysia) pula menarik. Ia menegaskan bahawa sesetengah individu atau golongan tertentu boleh lenyap daripada terus mengganggu golongan yang berkuasa.

Kabali adalah Rajinikanth, dan seperti Rajinikanth yang kita kenal melalui filem-filemnya, dia mempunyai gaya. Gaya itu kalau dibuang akan mencacatkan keseluruhan filem.

Dan filem ini penuh dengan gaya dari mula sehingga akhir. Kesan pergerakan peluru mantap, babak tembak-menembak antara Kabali dan Tony Lee adalah babak paling menangkap.

Malangnya, filem ini agak membosankan. Bukan kerana ketiadaan aksi-aksi melampau seperti dulu, tetapi sebab jalan cerita yang meleret, banyak perkara yang kurang bijak dimuatkan dan babak imbas kembali meleret-leret.

Gubahan muzik dalam Kabali juga agak menyakitkan telinga. Bukanlah kerana ia nyaring sebaliknya sebab bunyi yang digunakan sangat tidak enak. Selalu sangat kita melihat filem gangster digandingkan dengan muzik rap.

Memang benar dalam rap terdapat genre gangster rap, tetapi muziknya bukanlah seperti dipasang dalam Kabali. Hanya lagu tema untuk watak Kabali saja sedap di telinga dan menaikkan mood keterujaan.

Sebelum filem ini tamat, sudah beberapa penonton keluar dari pawagam. Mungkin membosankan pada mereka. Saya juga hampir-hampir tertidur akibat dari kemeleretan terdapat dalam filem ini.

Tetapi seronok juga bila melihat filem asing dimainkan dengan latar belakang Malaysia dan ia ditonton di negara asing yang lain pula.

Cuma apabila sesuatu tempat terlalu sangat difokuskan, ia agak mengganggu rentak tontonan.

Kabali mungkin cuba menjadi seperti Young And Dangerous, malangnya elemen kasih sayang lebih mengambil tempat. Mungkin juga, ia mahu menjadi drama, seperti Godfather, tetapi malangnya ia tidak dilakukan dengan teliti.

Kabali terperangkap antara cerita dendam seorang gangster, seorang suami yang mencari isteri dan seorang ayah yang kehilangan anak.

Ditambah pula pengarah, Pa Ranjith berjaya menjelaskan signifikan sesetengah babak, tetapi terlepas peluang untuk menerangkan babak lain dengan lebih baik. Adakah sengaja? Tidaklah diketahui.

Lakonan daripada setiap pelakon memuaskan. Aspek itu tak perlu dirisaukan. Setiap emosi, memek muka dan gerakan badan dilakukan dengan baik.

Suatu yang menarik bagi saya untuk filem ini ialah bahasa. Setiap pelakon menuturkan bahasa berbeza. Ada tiga bahasa dalam filem ini - Tamil, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Masing-masing berinteraksi dengan bahasa yang berbeza. Ini sesuatu yang unik kerana penonton dihubungkan hanya dengan sarikata.

Inilah dinamakan jati diri. Kerana bahasa melambangkan bangsa. Apa yang dipertonjolkan ini patut menjadi kesedaran pada kita dan bukan sewenang-wenangnya melenyapkan hasil seni tanpa mengambil kira impak pada generasi akan datang.

Lihat bagaimana penonton memahami keseluruhan cerita Kabali hanya dengan sarikata. Dan sarikata itu apa? Bahasalah.

Bahasa itu apa pula? Sastera dan seni. Tanpanya apa yang kita ada? Tontonlah Kabali dan dengar dialog Rosyam Nor.

Wajarkah Kabali ditonton ini dipanggung? Pergilah. Ada saat-saat mengujakan yang hanya akan dapat anda nikmati jika berada di dalam panggung.

Pergi tanpa mengharapkan apa-apa. Lapangkan dada, buka minda anda dan nikmatilah Kabali seadanya, kerana Rajinikanth sendiri akan memberi amaran kepada anda di dalam babak pergaduhan yang pertama: “Ini bukan filem Tamil biasa yang kau lihat hero menggentelkan misainya. Ini KABALI!”

Selesai menonton kami berempat melangkah keluar dari pawagam.

"Jadi, amacam Kabali?" tanya saya kepada mereka bertiga.

"Ada rasa kurang sikitlah, bang." kata Tana yang merupakan peminat setia Rajinikanth.

"Ada rasa meleretlah. Lebih-lebih lagi semasa dia mau cari bini dia tu," kata Norman anak muda dari Sabah.

"Terhibur jugalah. Apa yang kita nak jangkakan? Tapi Malaysia ada 90 peratus dalam filem ini bro! Ah rindu Malaysia!" Kata Harith penuh semangat. Dia pemuda keturunan Sikh dari Selangor dan kini beragama Islam.

"Kau semua ingat adegan Kabali cakap bahasa Melayu?" tanya saya.

"Oh! Ingat! Biarkan, biarkan!"

Kami ketawa sambil berjalan menuju ke perhentian teksi, dan Kabali menemani setiap langkah itu.

Makilchchi!


MUHD IQBAL mekanik pesawat udara penumpang yang meminati filem dan sastera

Lihat Komen