malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Polis sahkan Adlin cuma ditahan, bukan direman
ADS

Sebuah rangkaian sindiket skim cepat kaya diadukan 175 kali kepada polis sejak Februari lalu dan daripada jumlah itu 19 kertas siasatan dibuka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata seramai 15 individu disyaki terlibat dalam skim dikenali sebagai 'Highway Group' ditahan.

Bagaimanapun, katanya, satu daripada mereka - yang tidak dinamakan tetapi dipercayai seorang artis - dibebaskan tanpa direman.

Katanya dianggarkan nilai pelaburan yang terlibat dalam skim menjanjikan pulangan sehingga lebih 3,241 peratus ialah RM50 juta.

"Kebanyakan suspek yang ditahan adalah individu dari sektor pendidikan, dan antara mereka seorang berpangkat Datuk Seri, seorang Datuk.

"Mereka ditahan dalam operasi dijalankan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Kelantan dan Pahang pada 20 Julai," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Minggu lalu khabar angin bertiup kencang mendakwa seorang artis terkenal diberkas kerana terlibat dalam skim cepat kaya.

Ketika tiada sebarang pengesahan rasmi dibuat polis, semalam Adlin Aman Ramli tampil memberi penjelasan mengenainya.

Kata Adlin yang terkenal sebagai pelakon, pelakon dan pelawak itu, dia berasa dirinya menjadi kambing hitam dalam kes berkenaan.

Menurut Adlin, dia juga tidak ditahan reman selama empat hari seperti didakwa sesetengah pihak sebaliknya hanya "membuat kunjungan hari raya" ke Bukit Aman serta Ibu Pejabat Polis Dang Wangi selepas dia dikunjungi polis di rumahnya pada petang 20 Julai lalu.

"Polis menyatakan sebab saya perlu mengikut mereka ke Bukit Aman dan Dang Wangi untuk membantu siasatan kes pelaburan haram," katanya.

Dua tahun di Kelantan

Menurut Adlin dia dibebaskan polis selepas 24 jam kemudian.

Kata Adlin pembabitannya dengan kumpulan berkenaan hanya untuk membuat penampilan khas jika mendapat jemputan.

Mortadza berkata dalang utama sindiket berkenaan ialah individu bergelar Datuk Seri itu. Suspek berkenaan, katanya, mempunyai latar belakang bidang pendidikan.

Selepas siasatan awal dibuat, katanya, artis terbabit dibebaskan manakala selebihnya direman seminggu.

"Polis mungkin memohon untuk mendapatkan reman lanjutan kerana ada 175 aduan dibuat (dan sedang diteliti)," katanya.

Mortadza berkata, enam daripada suspek itu ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah manakala selebihnya ditahan menurut Seksyen 420 Kanun Acara Jenayah.

Katanya kumpulan itu aktif di Kelantan dua tahun lalu sebelum mengembangkan aktiviti berkenaan ke seluruh negara.

Kebanyakan mangsa, kata Mortadza, terdiri daripada guru dan kakitangan kerajaan.

"Pelabur dijanjikan pulangan RM3,000 setahun bagi setiap RM1 yang dilaburkan," katanya.

Beliau turut mendedahkan tawaran dipercayai menarik perhatian sehingga 500,000 pelabur.

Seorang akauntan yang ditahan, katanya, mengaku mereka mengeluarkan sehingga RM50 juta kepada ahli yang menyertai skim berkenaan.

"Polis tidak menolak kemungkinan jumlah pelaburan dalam skim itu mencecah sehingga RM100 juta," katanya.

Mortadza juga mengakui 'hairan' bagaimana sindiket berkenaan mampu menarik begitu ramai orang meyakini dan melabur di dalamnya.

"Mungkin mereka menukar modus operandi dengan menggunakan ikon yang berpengaruh di kalangan masyarakat," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen