malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Cinta Taylor, Hiddleston jadi bahan kaki judi
Diterbitkan:  Jun 30, 2016 3:25 PM
Dikemaskini: 7:40 AM
ADS

Hubungan cinta Taylor Swift dan Tom Hiddleston bukan saja memberi kesan kepada pasangan selebriti itu, malah sebahagian rakyat China yang gemar bertaruh.

Ekoran hubungan digelar Hiddleswift itu, peminat aktivti pertaruhan membeli 'polisi insurans' berkaitan dengan ramalan kesudahan kisah cinta berkenaan.

Sebahagian besar bagaimanapun percaya Taylor tidak kekal lama dengan aktor British itu.

Sebuah syarikat atas talian China, Taobao, dijadikan tempat sesetengah pihak menawarkan polisi kepada orang ramai dengan menjanjikan pulangan dua kali ganda jika Taylor, 26, dan Hiddleston, 35, berpisah.

Tawaran itu dibuka sejak minggu lalu walaupun hubungan kedua-dua mereka belum disahkan secara rasmi.

Taobao yang dimiliki syarikat Alibaba Group adalah platform perdagangan atas talian terbesar di China.

Menurut agensi berita Xinhua kadar pertaruhan minimum dibenarkan adalah 1 yuan (60 sen).

“Sekiranya saya membeli taruhan sebanyak sejuta yuan, sudah tentu saya bakal mendapat pulangan yang banyak jika Taylor dan Hiddleston berpisah.

“Dengan adanya selebriti yang kerap kali putus hubungan sepanjang masa, ia memberi kami peluang untuk memperoleh banyak wang!” kata seorang pembeli polisi yang dikenali dengan nama Xiaoting.

Capaian ke laman sesawang disekat

Pada hakikatnya, memang ada kebenaran pada kenyataan Xiaoting.

Berdasarkan rekod lalu, tempoh purata percintaan Taylor dengan lelaki hanya bertahan selama hanya kira-kira dua setengah bulan saja.

Antara lelaki yang pernah menjalin cinta dengan Taylor ialah Joe Jonas, John Mayer, Jake Gyllenhaal dan Harry Styles.

Hubungannya dengan DJ Calvin Harris misalnya, hanya mampu bertahan kira-kira setahun.

Menurut seorang peniaga yang namanya dirahsiakan, sebanyak 543 transaksi 'polisi Hiddleswift' itu direkodkan.

Bagaimanapun, Taobao kemudian dilaporkan menyekat penawaran polisi tersebut.

Capaian pada laman sesawang yang sebelum ini menyediakan 'polisi insurans' berkenaan memaparkan mesej: “Menurut peraturan dan undang-undang China, pautan yang dicari tidak boleh dipaparkan.”

Selain Hiddleswift, turut dipertaruhkan di sebalik 'polisi insurans' itu ialah hubungan cinta penyanyi Katy Perry dan Orlando Bloom - sama ada akan berkekalan atau terputus - serta pemenang pilihan raya presiden AS (antara Donald Trump dan Hillary Clinton).

Semua capaian untuk pembelian 'polisi insurans' itu kini sudah disekat.

Pada umumnya aktiviti perjudian diharamkan di China, kecuali pada dua agensi yang dikendalikan kerajaan.

Sementara itu wakil Alibaba Group berkata, polisi perpisahan sering digunakan sesetengah peniaga sebagai alat meraih keuntungan mudah melalui Taobao.

“Ia bukan produk insurans sah dan peniaga juga bukan penjual insurans yang bertauliah.

“Kami mengambil tindakan untuk menurunkan ‘produk’ berkenaan daripada platform Taobao,” katanya.

Lihat Komen