malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Taliban tembak mati penyanyi qawwali
Diterbitkan:  Jun 29, 2016 3:36 PM
Dikemaskini: 7:43 AM
ADS

Ketika Amjad Sabri ke sebuah stesen televisyen untuk mengadakan persembahan sempena Ramadan, dia tidak menyangka ia adalah perjalanan terakhirnya bersama jantug yang berdegup.

Sebelum sempat tiba ke destinasi kereta dinaikinya bersama dua yang lain - seorang teman dan seorang lagi pemandu - dua lelaki bersenjata api menaiki sebuah motosikal menghampiri kenderaan berkenaan.

Sejurus kemudian tembakan dilepaskan, dan mengenai ketiga-tiga orang di dalam kereta itu.

Dua daripada peluru itu menerjah kepada Ajmad dan sebutir lagi terkena telinganya.

Ketiga-tiga mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Abbasi Shaheed di Liaquatabad, Karachi. Bagaimanapun Amjad kemudian menghembus nafas terakhirnya, manakala dua yang lain dalam proses pemulihan.

Kumpulan Taliban Pakistan kemudian mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan Amjad yang diisytihar mereka sebagai "murtad".

Jika dakwaan itu benar, Amjad menjadi mangsa terbaru siri serangan ganas Taliban selepas Benazir Bhutto pada 2007 dan Malala Yousafzai pada 2012.

Amjad, 45, dianggap antara penyanyi Pakistan paling dikenali ramai dan diingati sebagai pembawa irama qawwali.

Sehari kemudian - pada 23 Jun - ribuan orang berkumpul di Karachi untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Amjad yang dibawa menaiki ambulans untuk disemadikan.

Selain Pakistan nama Amjad dan keluarganya dikenali ramai di rantau Asia Selatan. Arwah ayahnya, Ghulam Farid Sabri, pernah membentuk The Sabri Brothers bersama adiknya (bapa saudara Amjad), Maqbool Sabri.

Beri kesan pada Pakistan

Amjad sebenarnya menyambung 'perjuangan' bapanya menyanyikan irama memuji tuhan dan Nabi Muhammad melalui irama qawwali - yang dikatakan wujud sejak 700 tahun silam.

Ia juga dianggap antara luahan perasaan sufisme yang popular di Asia Selatan.

Masalahnya ialah sesetengah lagu qawwali dilihat kumpulan ekstremis sebagai membawa fahamam pluralisme. Itu dipercayai menjadi alasan kepada militan Taliban membunuh Amjad.

Seorang wartawan Murtaza Hussain menulis di Washington Post: "Qawwali ungkapan unik dan tersendiri Pakistan terhadap Islam. Sebabnya itu pembunuhan ini benar-benar meninggalkan kesan di jiwa rakyat Pakistan."

Qawwali juga sering menyatakan rasa kasih dan cinta kepada tuhan dan nabi - atau Sayidina Ali - secara langsung, menjadikannya seolah-olah lagu cinta yang tidak ada unsur keagamaan sama sekali.

Ia juga dikatakan mempunyai pengaruh muzik klasik India dan Hindu walaupun diakui qawwali tetap memiliki keunikan tersendiri.

Persembahan sebuah lagu qawwali boleh berlanjutan sehingga beberapa jam.

Seorang lagi penyanyi qawwali yang terkenal ialah Nusrat Fateh Ali Khan.

Pada 2014 Amjad dinamakan bersama sebuah saluran televiyen dan hos rancangan bual bicara dalam saman di mahkamah di Pakistan.

Dalam saman itu Amjad didakwa menghina Islam dan kufur.

Ibu Amjad, Asghari Begum, memberitahu Al Jazeera kira-kira enam bulan lalu tiga lelaki menyerbu masuk ke rumah penyanyi berkenaan.

Bagaimanapun tiada kejadian keganasan berlaku kerana kebetulan Amjad tiada di situ.

Akhbar Pakistan, Dawn, melaporkan Amjad meninggalkan seorang balu dan lima anak, dengan yang sulung baru berusia 12 tahun.

Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif juga mengumumkan bantuan kewangan segera bernilai hampir RM600,000 kepada keluarga Amjad.

Nawaz juga mengumumkan penyanyi itu maut di tangan "pengecut".

Tidak dapat dipastikan bila pembunuhan dan keganasan begitu akan berakhir di Pakistan.

Sehari selepas kematian Amjad, rakan penyanyi itu yang mengkhususkan persembahannya dalam kesenian Syiah, Farhan Ali Waris, berkata dia ditembak di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun dia bernasib baik kerana terselamat dalam serangan yang berlaku beberapa jam selepas pembunuhan Amjad itu.

Lihat Komen