malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Led Zeppelin bebas dari tuduhan ciplak lagu
Diterbitkan:  Jun 24, 2016 12:36 PM
Dikemaskini: 6:32 AM
ADS

Kumpulan Led Zeppelin hari ini didapati tidak melakukan plagiat dalam lagu epik mereka, Stairway to Heaven.

Juri di Los Angeles memutuskan pembukaan lagu berkenaan "pada asasnya" berbeza daripada lagu ciptaan kumpulan Spirit, Taurus.

Lagu Stairway to Heaven diperdengarkan kepada umum pada 1971 manakala Taurus dihasilkan pada 1967.

Bagaimanapun juri mengakui penyanyi Led Zeppelin, Robert Plant memiliki akses kepada lagu Taurus.

Sebelum ini Led Zeppelin diheret ke mahkamah atas tuduhan menciplak lagu Spirit.

Tindakan mahkamah itu diambil bagi pihak gitaris Spirit, Randy Wolfe. Wolfe meninggal dunia pada 2 Januari 1997.

Sepanjang perbicaraan peguambela berhujah irama yang dipertikaikan itu dianggap lazim dan sudah digunakan sejak lebih 300 tahun lalu.

Pendakwa pula berpendapat Led Zeppelin terdedah kepada lagu-lagu Spirit selepas kedua-dua kumpulan berkenaan mengadakan persembahan di tempat sama di sebuah kelab di Birmingham pada 1970.

Birmingham adalah tempat Plant menetap suatu ketika dulu.

Dalam keterangannya di mahkamah minggu lalu, pemain bass Spirit, Mark Andes mengakui dia bertemu Plant pada satu persembahan dan bermain snuker selepas itu.

Bagaimanapun Plant menegaskan dia tidak mengingati pertemuan berkenaan kerana ia berlaku kira-kira 40 tahun lalu.

Plant menyalahkan kemalangan kereta dialaminya menjadi punca ingatannya tidak begitu baik.

Dia juga menjelaskan panjang lebar bagaimana lagu Stairway to Heaven dicipta bersama Jimmy Page dan John Paul Jones.

Lihat Komen