malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Burung marah-marah dan paranoid babi
ADS

Pada Jun 2009 saya terkesan dengan wabak selesema babi, lalu terhasil sebuah sajak bertajuk Manusia.

Beberapa bulan kemudian seniman Khalid Salleh mendeklamasikan sajaknya di Rumah Pena. Sajak Selsema Babi itu bermula dengan bait-bait ini:

Mexico city

Babinya tiba-tiba menggemparkan dunia

Bawaan wabak selsema yang dikaitkan dengannya

Membunuh manusia dalam perenggan beberapa ketika saja

Kedua-dua sajak membawa nada yang sama - bahawa tamadun manusia boleh terancam tiba-tiba oleh babi dan ia membawa risiko kepada manusia zaman berzaman.

Secara fizikal mahupun sekadar simbol, babi adalah "keji". Apatah lagi dalam budaya Melayu, babi adalah simbol keburukan mutlak. Justeru ada peribahasa seperti "macam babi merasa gulai" atau simpulan bahasa "membabi buta".

George Orwell pula - melalui novel satiranya Animal Farm - turut menggambarkan babi sebagai kelompok pemimpin yang terkutuk.

Maka muncul slogan "semua haiwan adalah sama, tetapi sesetengah haiwan adalah lebih sama daripada yang lain."

Dalam ketakutan (dan kekalutan) berterusan begitulah muncul produksi animasi The Angry Birds Movie di layar perak.

Andainya saya orang kaya, pasti saya akan tidak keberatan untuk membiayai orang ramai - termasuk pimpinan parti politik, mungkin - untuk menikmati filem animasi ini. Saya yakin ada banyak yang boleh mereka pelajari bagi mendepani haiwan bernama babi ini.

Tersengguk berkali-kali

The Angry Birds Movie sebagai sebuah produksi filem tidaklah istimewa apa-apa. Malah saya sanggup katakan ia adalah satu produksi orang pemalas dan bertujuan untuk mengaut keuntungan daripada generasi telefon pintar semata-mata.

Tiada apa yang baru dengan plotnya. Ia hanya memindahkan secara literal permainan aplikasi telefon pintar itu ke skrin besar. Burung-burung yang tidak boleh terbang hidup aman damai di sebuah pulau. Kemudian mereka didatangi segerombolan babi yang mesra tapi berniat jahat, mencuri telur-telur burung. Dan masyarakat burung bangkit melawan dengan menghayunkan diri sendiri menggunakan lastik besar.

Kedengaran saling tak tumpah seperti permainan itu bukan? Memanglah, kerana itulah The Angry Birds Movie, tidak ada lebihnya.

Tidak aneh jika penonton dewasa boleh tersengguk-sengguk beberapa kali ketika menonton filem ini.

Cuma ketika menonton filem arahan bersama Clay Kaytis dan Fergal Reilly ini, fikiran saya terawang-awang mengenang situasi politik semasa Malaysia.

Pada pemimpin pemuda sebuah parti, saya berangan-angan membisikkan kepadanya: "Lihatlah diri kamu dalam Red yang pemarah dan sentiasa berprasangka itu. Prasangka itulah menyebabkan dia sentiasa berwaspada terhadap babi dan berjaya membongkar muslihat jahat pencuri telur. Kerana dia, kaumnya selamat."

Perlu terbuka, inklusif

Saya yakin kerjaya politik saya dalam parti tersebut punya masa depan cerah selepas itu.

Satu-satunya burung yang masih boleh terbang di pulau itu adalah seekor helang tua bernama Mighty Eagle. Dia membawa perubahan kepada kaumnya, kerana pengalaman dan kebijaksanaan yang ada.

Tapi Mighty Eagle memilih untuk berdiam seorang diri dalam gua di puncak gunung. Lalu dia terpisah daripada realiti.

Mujurlah pemimpin pemuda tadi, er... maksud saya, si Red, gigih mencari Mighty Eagle untuk menyedarkan helang tua itu tentang bahaya kepada kaumnya.

Maka kita disedarkan bahawa seseorang yang sudah tua biasanya sangat bergantung kepada maklumat yang disampaikan penasihatnya.

Saya membayangkan seorang ketua pemuda ada di sebelah untuk saya berbisik kepadanya: "Jadilah penasihat yang baik, bukan sekadar penasihat yang marah-marah kepada orang yang tidak setuju dengan ketua kamu. Ketuanya tidak semestinya sentiasa betul."

Dalam bahasa mudah saya mahu katakan ini: Kita perlukan generasi baru yang lebih terbuka dan inklusif untuk bangkit memimpin, bukannya paranoid kepada ungkapan "babi".

Sikap "houlier than thou" wajib dibuang jauh-jauh ke tengah laut, seperti terusirnya babi-babi jahat dalam The Angry Birds Movie ini.

Namun saya juga berharap agar saya tidak diapa-apakan kerana bersuara begini, waima disiku atau dilututkan.

Jika masih dimarahi pun, biarlah, kerana akhirnya The Angry Birds Movie ini sekadar hiburan biasa-biasa semata.

Semoga babi akhirnya tidak lagi menjadi stigma yang begitu menakutkan kita, terutamanya generasi baru - generasi telefon pintar itu.


NAJMUDDIN YUSOFF eksekutif telekomunikasi dan penulis separuh masa. Dia sering menonton filem sambil banyak mengelamun tentang politik dan partinya

Lihat Komen