malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Depp tak mahu bayar apa-apa pada bekas isteri
Diterbitkan:  May 27, 2016 11:49 AM
Dikemaskini: 6:09 AM
ADS

Sehari selepas Amber Heard dilapor mengemukakan permohonan cerai Johnny Depp meminta mahkamah memutuskan dia tidak perlu memberi sebarang nafkah kepada isterinya itu.

Dokumen mahkamah menunjukkan permohonan Depp dibuat sebagai tindak balas petisyen cerai daripada Amber.

Depp, 52, juga meminta Amber membayar sendiri yuran guaman untuk proses berkenaan.

Tiada sebarang tarikh perceraian rasmi ditetapkan dalam dokumen itu.

Amber, 30, mengemukakan permohonan menceraikan Depp pada Isnin selepas mereka berkahwin sejak 15 bulan lalu.

Kata Amber, mereka berpisah sehari sebelum itu selepas kedua-duanya berpendapat perselisihan faham semasa mereka tidak lagi dapat diatasi.

Depp dan Amber berkahwin pada Februari 2014 dan tidak memiliki anak sehingga kini.

Palsu dokumen di Australia

Hero filem Pirates of the Caribbean itu dianggap antara pelakon terkaya di Hollywood dan faktor itu mungkin berpengaruh dalam petisyen Amber - juga seorang pelakon.

Pakar perundangan menjangkakan Amber akan memohon hak atas harta sepencarian sepanjang tempoh 15 bulan rumahtangga mereka terbina.

Depp dilaporkan memperoleh pendapatan AS$350 juta (RM1.4 bilion) daripada empat filem pertama Pirates of the Caribbean.

Tahun lalu majalah ekonomi Forbes menganggarkan Depp sebagai aktor ke-12 paling banyak menerima bayaran iaitu AS$30 juta (RM121.8 juta).

April lalu pasangan itu menjadi perhatian apabila pihak berkuasa Australia mendakwa Amber di mahkamah atas tuduhan memalsukan dokumen anjing peliharaan mereka.

Amber didakwa membawa masuk secara haram Pistol dan Boo tanpa mengikuti peraturan kuarantin di Gold Coast.

Pelakon Paranoia itu kemudian 'bersumpah' tidak akan menjejakkan kaki semula ke Australia.

Lihat Komen