malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Terselit politik di sebalik cinta dalam AADC2
Diterbitkan:  May 8, 2016 5:00 PM
Dikemaskini: 9:28 AM
ADS

Di sebalik kisah cinta, mungkin peminat Ada Apa Dengan Cinta (AADC) 2 tidak menyedari, ada unsur politik dan sosial turut diselitkan dalam cerita itu.

Sebenarnya, sejak AADC asal lagi, seringkali hal yang dekat di hati masyarakat diterapkan menjadi sebagai sebahagian daripada intipati filem.

Penerbit AADC dan AADC 2 Mira Lesmana dan pengarah Riri Reza yakin benar untuk memuatkan senario kehidupan masyarakat Indonesia dalam karya berkenaan, tetapi itu tidak bermakna perjalanan cerita merangkumi hal politik semata-mata.

“Kalau membikin filem saya dan Riri sentiasa mengambil berat faktor sekeliling, ia boleh dilihat dalam dialog yang dipersembahkan,” kata Mira seperti dilaporkan portal berita Indonesia.

Pada AADC, soal politik itu boleh dilihat pada saat kemunculan bapa Rangga.

Dan pada AADC 2 pula, unsur berkenaan boleh didapati secara halus terutama dengan kemunculan seni pameran Daging Tumbuh oleh Eko Nugroho.

Dalam filem itu juga, anggota Jogja Hip Hop Foundation Marzuki Muhammad atau lebih dikenali sebagai Kill The DJ Marzuki tampil dengan lagu Raminggir Tabrak.

Mereka memang terpilih

Kemudian, jalan cerita diteruskan dengan kelompok teater boneka Pappermoon Puppet Theater yang berasal dari Yogyakarta. Ia disusuli dengan Secangkir Kopi daripada Playa yang mengisahkan kisah cinta yang hilang.

Mira mengakui, faktor utama dia menampilkan kesemua barisan seniman itu kerana mereka sering mengekspresikan kepekaan terhadap politik dan sosial dalam karya.

“Politik itu disampaikan dalam ekspresi seni mereka. Mereka memang dipilih,” kata Mira.

Isu politik juga muncul dalam babak tertentu tetapi ia hanya sekilas lalu tanpa bicara dan kemudian menyelit dalam dialog antara Rangga dan Cinta yang menyebut soal piihan raya umum di Indonesia.

Pun begitu, Mira enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan kerana bimbang ia membongkar perjalanan cerita bagi peminat yang masih belum menonton AADC 2.

“Jangan dibicarakan mengenai hal ini kerana nanti spoiler,”ujar Mira berseloroh.

Menurut laporan portal berkenaan, kira-kira 200,000 hingga 250,000 tiket terjual dalam masa lima hari tayangan AADC 2 di Malaysia.

“Jumlah mencecah RM2 juta dengan nisbah RM10 satu tiket. Bagi jumlah populasi di Malaysia dengan anggaran 30 juta penduduk, angka itu dilihat satu pencapaian yang tinggi.

AADC 2 ini adalah langkah nekad saya dan Riri untuk membuat filem berkisarkan cerita cinta remaja sekolah kerana ketika itu belum ada kisah seperti itu,” kata Mira.

Selain Malaysia, AADC 2 turut menjengah pawagam di Brunei, namun di Singapura filem ini masih belum ditayang.

Lihat Komen