malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ari Lasso terkenang 'sekolah Dewa'
ADS

Sejak keluar dari kumpulan Dewa 19, penyanyi Ari Lasso mengakui rasa rindunya semakin menebal untuk kembali bernostalgia bersama band berkenaan.

Bagi Ari perjalanan kariernya selama menjadi vokalis Dewa 19 - antara 1991 hingga 1999 - menjadi satu kenangan yang sukar untuk dilupakan.

Dan sebagai mengenang kembali sejarah mereka bersama, Ari, 43, kini sedang merangka satu konsert reunion Dewa 19 yang akan diadakan di Indonesia pada Mei depan.

“Bercakap mengenai perasaan rindu, sudah tentu saya merasainya, kerana Dewa 19 menjadi sekolah terpenting buat saya.

“Walaupun tidak lagi bersama Dewa 19, tetapi kami masih lagi berkawan bahkan hubungan itu menjadi lebih baik hingga kini," katanya di sidang media di Hotel Royal Chulan kelmarin.

Dia menghadiri sidan media berkenaan sempena pelancaran single Kamu Egois. Lagu itu turut dimuatkan dalam album kompilasi The Best of Ari Lasso: Kamu Egois.

Ari, 43, di peringat awal pembabitannya dalam muzik pernah menubuhkan band Outsider bersama pemain dram Dewa, Wawan Juniarso serta gitaris Padi, Piyu.

Memang tidak asing

Bergabung pula dengan Down Beat, kumpulan itu kemudian menggunakan nama Dewa sebelum berubah lagi menjadi Dewa 19.

Bagaimanapun hubungan Ari dengan Dewa 19 menjadi buruk pada 1997 dengan kebanyakannya berpunca daripada masalah penagihan dadah dialaminya.

Ari kemudian disingkirkan, manakala tempat yang dikosongkannya itu diganti penyanyi baru, Once.

Menurut Ari sejak Once keluar dari Dewa 19, peminat meminta dia mengadakan konsert istimewa bersama-sama.

Bagaimanapun Ari memberitahu tarikh konsert yang dijangka diadakan di Istora Senayan, Jakarta itu belum diputuskan.

Mungkin nama Ari belum cukup terkenal di Malaysia, tetapi di Indonesia kehebatan pemilik suara bebas melankolik itu memang tidak asing lagi di kalangan penggemar muzik.

Lagu seperti Hidup, Hampa, Misteri Ilahi, Rahasia Perempuan dan lagu duet bersama Bunga Citra Lestari Aku dan Dirimu serta Jika (duet bersama Melly Goeslaw) memang meraih perhatian ramai.

Mengenai pembabitannya dalam band itu pula, di hadapan media, Ari tidak segan-silu berkongsi beberapa ilmu diperolehnya ketika 'menuntut' di 'sekolah' Dewa 19.

“Bagi saya, perkara paling bermakna adalah dapat mempelajari proses melahirkan album yang bagus dan berkualiti.

“Ilmu itu maksudnya luas, bukan semata-mata untuk menjual album. Ia termasuk cara mengendalikan kerjaya dalam perniagaan muzik,” katanya.

Mampu beli hati

Memilih untuk menjalani hidup bersederhana, Ari sebenarnya lebih selesa mengurangkan kemunculannya di telvisyen.

Tetapi selepas menjadi juri siri realiti televisyen The Voice Indonesia baru-baru ini, nama Ari kembali menghangat.

Ke mana saja dia pergi, katanya, peminat memanggilnya dengan nama Coach Ari.

Namun di sebalik populariti itu Ari tetap bersederhana dan ia terpamer pada sikapnya yang tidak keberatan jika lagunya tidak popular.

“Bagi saya, karya itu seharusnya dapat membeli hati peminat berbanding menjadi hit.

“Menghasilkan karya bukan sekadar untuk meraih kejayaan, mahupun menjadi kaya.

"Jika peminat muzik tidak menggemari atau lagu itu tidak mencapai tahap sasaran, ia tidak menjadi masalah kerana setiap lagu pasti ada penggemarnya,” katanya.

Lihat Komen