malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
DBP: Merarau, gabi bukan penamaan baru
ADS

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menafikan slaid penamaan baru beberapa perkataan, seperti cicipan, merarau dan gabi, yang menjadi viral di Internet berpunca daripada mereka.

Malah, kata Ketua Bahagian Penguatkuasaan DPB M Azahari Edin, perkataan-perkataan itu juga bukan penamaan baru kerana sudah digunakan pada tahun 1990-an.

"Kami pun tak tahu dari mana punca (gambar) yang tersebar itu, sebab kita memang tak keluarkan slaid berbentuk begitu.

"Dari segi slaid itu, tajuknya yang salah. Ia sepatutnya bukan penamaan baru, tetapi tambahan atau perkataan pilihan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, petang semalam.

Debat berhubung beberapa istilah alternatif hangat di Internet akhir-akhir ini selepas tersebar gambar mengenai penamaan semula beberapa perkataan bahasa Melayu.

Gambar tersebut memaparkan perkataan minum pagi sebagai 'sarapan', minum rehat pagi sebagai 'kudapan', minum petang sebagai 'cicipan' dan minum malam dipanggil 'gabi'.

Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan penamaan baru itu sebagai pelik dan mempersoal rasional pertukaran itu dilakukan.

M Azahari berkata, perkataan seperti merarau, kudapan atau gabi yang terpapar pada gambar tersebut sudah lama terdapat dalam kamus keluaran DBP.

"Seperti perkataan 'gabi' merupakan perkataan suku kaum di Sarawak, manakala kudapan popular di negeri utara tanah air.

"Tidak jadi masalah kita mahu guna atau tidak perkataan tersebut, ia sebagai variasi perkataan kepada pengguna," jelasnya.

Tambah beliau, perkataan itu dilihat menjadi isu susulan perkembangan media sosial pada masa sekarang.

Lihat Komen