malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Merarau, gabi: Sasterawan negara selesa yang lama
ADS

Di tengah-tengah perbahasaan hangat isu penamaan semula beberapa perkataan Bahasa Melayu, Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan nampaknya lebih selesa dengan istilah sedia ada.

Beliau yang baru mendapat anugerah itu kelmarin bagaimanapun berkata, penerimaan sesuatu istilah itu bergantung kepada penggunanya.

"Kalau suka, saya suka (istilah) yang lama. Tetapi banyak tempat lain guna (istilah) macam-macam.

“Contoh di Kedah kalau makan pagi mereka panggil 'menyorok'.

"Kalau untuk majlis rasmi lebih sesuai gunakan perkataan yang sudah biasa," katanya kepada Malaysiakini.

Debat berhubung beberapa istilah alternatif hangat di Internet akhir-akhir ini selepas tersebar gambar mengenai penamaan semula beberapa perkataan bahasa Melayu.

Gambar tersebut memaparkan perkataan minum pagi sebagai 'sarapan', minum rehat pagi sebagai 'kudapan', minum petang sebagai 'cicipan' dan minum malam dipanggil 'gabi'.

Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan penamaan baru itu sebagai pelik dan mempersoal rasional pertukaran itu dilakukan.

Sementara itu, aktivis bahasa pula tidak melibat sebarang masalah susulan perkembangan terbaru itu.

Sementara itu, semakan Malaysiakini melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP mendapat perkataan 'gabi' membawa maksud makan malam dalam konteks glosari leksikal bahasa sukuan.

Bagi perkataan 'merarau' pula membawa maksud makan tengah hari menurut Kamus Dewan Edisi Keempat.

Gapena: Tiada masalah

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) Prof Datuk Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata tidak salah memperkenalkan perkataan baru dengan syarat tidak membuang perkataan sedia ada.

"Dari segi konteks kalau istilah itu sudah ada dalam Bahasa Melayu dan diterima pakai, janganlah diubah-ubah. Tetapi sebagai tambahan tiada masalah.

"Kalau untuk urusan nasional (rasmi), perlu guna yang sedia ada. Perkataan itu (sedia ada) sudah indah dan diterima pakai,” kata pensyarah kanan di fakulti bahasa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) itu.

Abdul Latiff berkata, apa yang penting penggunaan perkataan bahasa Melayu tidak ditukar dengan bahasa Inggeris.

"Misalnya minum pagi kepada sarapan, tak ada masalah. Tapi jangan tukar jadi breakfast.

"Kalau itu bahasa sukuan juga tidak ada masalah sebagai tambahan atau pilihan, cuma jangan kita tukar kepada bahasa Inggeris," katanya.

Malaysiakini sedang mendapatkan penjelasan dari pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berhubung perkara tersebut.

Lihat Komen