malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Alicia satukan dunia dengan muzik, bola
Diterbitkan:  Apr 28, 2016 8:25 PM
Dikemaskini: 12:58 PM
ADS

Untuk kali pertama perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah akan menampilkan kelainan dengan memberi ruang kepada persembahan muzik secara langsung di acara pembukaannya bulan depan.

Artis yang terpilih pula adalah pemenang Anugerah Grammy, Alicia Keys yang akan menyanyikan lagu terbaru dari albumnya yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Dalam satu temubual menerusi telefon, Alicia memberitahu dia kini sedang sibuk menguruskan album berkenaan.

Bagaimanapun, dia seperti teragak-agak apabila warwatan bertanyakan mengenai lagu yang akan dipersembahkan pada malam bersejarah itu.

“Untuk persembahan pada malam itu saya mahu ia menjadi satu kejutan dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

“Bagi saya, perkara itu adalah sesuatu yang membawa keseronokan. Tetapi yang pasti, anda semua akan mendengar muzik terbaru,” katanya seperti dilapor AP.

Detik paling digemari

Kali terakhir Alicia mengeluarkan album studio adalah pada 2012 bertajuk Girl on Fire.

Persembahan yang dijadual pada 28 Mei ini bakal disiarkan secara langsung ke 220 buah negara.

Perlawanan akhir untuk merebut piala berprestij untuk kelab Eropah itu akan diadakan di Stadium San Siro, Milan.

Dengan nada teruja dan penuh semangat, penyanyi yang pernah menerima anugerah multi platinum, selain berbakat menulis lirik dan bermain piano itu seolah tidak sabar untuk beraksi di atas pentas.

“Ini adalah masa sesuai untuk melahirkan muzik baru kerana bagi saya ia adalah detik paling saya digemari,” katanya.

Manakan tidak, Alicia diberi peluang yang besar untuk mengetengahkan muziknya di pentas global selain di hadapan jutaan peminat sukan bola sepak di seluruh dunia.

Alicia sebenarnya masih lagi tidak mempercayai betapa bertuahnya dia menjadi artis dengan keistimewaan seperti itu.

Tetapi baginya, dia percaya muzik dapat menyatupadukan peminat dengan pelbagai bahasa dari segenap pelusuk Eropah.

“Ia tak tergambarkan dengan kata-kata, saya tahu akan ada kira-kira 80,000 orang di sana dan semua penonton terdiri daripada masyarakat di seluruh dunia menyaksikan dan meraikannya.

“Ia satu ruang besar yang perlu diisi tidak kira bahasa yang kamu tuturkan atau fahami. Yang penting kamu mempercayai emosi dan itu membuatkan kamu memahami perasaan yang ada.

“Saya rasa itu adalah sesuatu yang ajaib mengenai muzik dan hal itu yang membuatkan kita mencintainya,” katanya.

Lihat Komen