malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Nyanyian jujur dari hati Ari Lasso demi peminat
ADS

Dianugerahkan suara yang mengagumkan dan berkarakter tidak sedikit pun membuat penyanyi dari seberang Ari Lasso meninggi diri.

Bagi peminat, mendengar suara bebas melankolik daripada ikon pop era 1990-an itu mungkin mampu membuat hati mereka 'cair' untuk kesekian kali.

Rahsianya, kata Ari, 43, dia melontarkan suara itu dari hati dan bersikap jujur kerana yang penting dia mahu menghiburkan pendengar.

“Jika dikatakan suara saya sedap di telinga pendengar, ia satu kesyukuran kerana ia anugerah tuhan.

“Untuk memberi impak yang terbaik dalam setiap persembahan, kita seharusnya tahu menjiwai sesuatu lagu serta isi yang ingin disampaikan.

“Biarlah lagu yang dinyanyikan itu dibawa dengan sejujur mungkin,” katanya kepada Malaysiakini.

Dianugerahi vokal mantap, Ari tidak memandang remeh kelebihan yang ada malah bekas penyanyi utama kumpulan Dewa 19 itu mengamalkan disiplin ketat setiap hari.

Caranya, kata peminat tegar kumpulan rock Queen itu, adalah dengan mengamalkan pengambilan minuman tanpa ais.

Ari ditemui semasa sidang media pelancaran album The Best of Ari Lasso: Kamu Egois bertempat di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur semalam. Ia diterbitkan oleh Suria Records.

Jadual ketat sentiasa

Album itu menampilkan kompilasi 14 lagu termasuk single yang turut dilancarkan semalam, dengan judul Kamu Egois.

Single ciptaan Pay dan Dewiq itu sebelum ini dilancarkan di Indonesia pada 2014. Ia berkisar tentang kerumitan hubungan seorang lelaki dan pasangannya yang disulami perasaan ego sehingga menyakiti perasaan masing-masing.

Album Ari turut menempatkan lagu Jika (duet dengan Melly Goeslaw), Aku dan Dirimu (duet dengan Bunga Cinta Lestari), Mana Kutahu, Hampa, dan Rahasia Perempuan.

Ari menjelaskan sejak 2013, ruang lingkup kerjayanya semakin padat. Perkara itu katanya sering menangguhkan penghasilan karya terbaru daripadanya.

Perubahan kaedah pengeluaran album daripada fizikal ke bentuk digital pula semakin menambah bingung Ari.

Perubahan masa juga turut mengubah persepsinya kepada kualiti sesuatu lagu, terutama irama yang menjadi siulan kebanyakan generasi kini.

“Sering kedengaran muzik yang kurang enak pada saya di Indonesia.

“Pada anggapan saya, ia sepatutnya tidak wajar diangkat menjadi nombor satu dalam carta muzik di sana," katanya.

Justeru, Ari berkata, dia tidak berputus asa untuk melahirkan karya yang dirasakan sepatutnya dinikmati orang ramai.

"Cuma lagu-lagu itu tidak diperdengarkan kerana ada perkara yang membuatkan saya kecewa," katanya yang turut mengagumi bakat muda seperti Muhammad Tulus dan Isyana Sarasvati itu.

Perasaan kecewa itu, katanya, umpama melahirkan muzik hebat untuk telinga masyarakat yang tidak tahu menghargai.

Lihat Komen