malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
AADC 2: Menziarahi 'cinta' yang pernah ada
ADS

Jarak 14 tahun memisahkan Rangga dan Cinta namun apabila mereka bertemu semula, keserasian itu ternyata masih ada dan sama.

Melalui Ada Apa Dengan Cinta (AADC) 2 kedua-dua watak itu dipertemukan sekali lagi selepas mereka bertentang mata untuk kali terakhir 'sembilan tahun' lalu.

Menceritakan pengalaman menjayakan AADC 2 pelakon utamanya Dian Sastrowardoyo berkata keserasian dengan watak lain mudah ditemui kerana ia memang "pernah ada".

"Ia umpama memiliki sesuatu yang pernah ada, tetapi telah lama ditinggalkan dan tidak diusik buat sementara waktu.

“Tidak sukar untuk mengembalikan keserasian itu kerana seperti seseorang yang sudah biasa menunggang basikal, kebolehan itu tidak pernah hilang.

“Ia tetap ada di situ dan cuma perlu didatangi kembali,” katanya.

Dian, 34, ditemui selepas Malam Gala AADC 2 serta tayangan khas filem itu di Damansara malam tadi.

Peminat bersorak

Selain Dian, turut muncul adalah Nicholas Saputra yang membawa watak Rangga, serta Titi Kamal, Adinia Wirasati dan Sissy Priscillia. Tidak ketinggalan pengarah Riri Reza serta pencipta lagu runut bunyi AADC dan AADC 2, Melly Goeslaw.

Nyata selepas 14 tahun berlalu kenangan ramai kepada AADC masih kuat dan terlihat dengan suasana meriah dan riuh peminat yang menanti dengan sabar untuk melihat barisan pelakon filem berkenaan.

Dan sorakan itu bertambah gamat apabila pelakon AADC 2 muncul di pentas.

Peminat AADC berpeluang mengimbau detik indah antara Rangga dan Cinta menerusi AADC 2 mulai 28 April ini apabila ia ditayangkan serentak di tiga buah negara - Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Meski pun 14 tahun diambil untuk 'menghidupkan' semula Rangga dan Cinta di layar perak, mengikut ceritanya perpisahan kedua-dua mereka adalah selama sembilan tahun.

Kata Dian berkata, dia berharap AADC 2 dapat mengubat rindu peminat yang lama menunggu.

“Saya berharap orang di Malaysia dapat menikmati filem ini dengan sebaiknya kerana kami juga telah melakonkan filem ini dengan sepenuh hati.

Sementara itu, bagi Nicholas, bekerja dengan Dian adalah perkara yang boleh dianggap "mudah".

“Saya dan Cinta boleh dikatakan mempunyai hubungan yang rapat sebagai rakan kerja.

“Bermula dari situ, kami berkongsi idea dan pendapat malah bersemangat melakukan tugas yang diberikan.

“Dan ada masanya, kami sering bersetuju pada sesuatu etika dalam bekerja,” katanya.

Nicholas turut menyatakan syukur kerana perkembangan AADC 2 dilihat amat memberangsangkan terutama selepas melihat begitu ramai peminat yang menyerbu dan mengambil peluang berselfie dengannya.

“Sejujurnya tidak pernah terlintas langsung untuk membawa watak Rangga sekali lagi untuk AADC 2.

“Dan saya juga tidak berani menjawab sekiranya akan ada lagi sambungan selepas ini, kerana itu yang terjadi selepas AADC lalu.

“Pun begitu, saya berterima kasih kerana peminat masih teruja untuk tonton filem itu setelah 14 tahun menyepi,” katanya.

Lihat Komen