malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Artis masuk politik: Itu hak masing-masing
ADS

Sama ada seseorang artis wajar menyertai politik secara langsung atau bertanding dalam pilihan raya bergantung kepada keinginan masing-masing.

Bagaimanapun, untuk menyumbang kepada negara, artis tidak semestinya perlu terbabit aktif dalam dunia itu, malah tidak semestinya menjadi calon pilihan raya.

Pengarah dan pelakon berdarah kacukan Pakistan, Melayu dan Siam, Bront Palarae ( gambar ), berkata seseorang yang membawa gelaran selebriti wajar menjalankan tanggungjawab untuk bangsa dan negara dengan sentiasa mengambil tahu senario politik semasa.

“Biarpun saya bukan seorang ahli politik, semua orang wajar tahu situasi politik yang berlaku. Politik itu ialah daripada rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat,” katanya kepada Malaysiakini .

Bront ditemui selepas sidang media pelancaran Karya 12 terbitan Astro Citra di Kuala Lumpur semalam.

Politik alat segelintir pihak

Karya 12 adalah mengenai enam pelajar jurusan seni filem yang berkolaborasi bersama enam pengarah melahirkan filem televisyen berkualiti.

Kelmarin Raja Pop Malaysia Datuk Jamal Abdillah menyatakan kesediaannya menjadi calon pilihan raya jika mendapat kepercayaan parti politik.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan sama ada pernah menerima tawaran begitu atau sebaliknya.

Bront, 37, yang baru-baru ini berlakon dalam filem Ola Bola berkata, dia sendiri tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana parti politik atas beberapa alasan.

Katanya, definisi parti politik sekadar alat untuk kegunaan segelintir pihak.

“Sekiranya menyertai sesebuah parti, saya perlu tunduk kepada dasar mereka. Saya tidak percaya dengan hal sedemikian.

“Saya lebih percaya kepada peranan untuk menyumbang demi pembangunan negara.

“Saya benar-benar tidak sabar untuk mengundi pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Sementara itu bagi pengarah Polis Evo , Ghaz Abu Bakar ( gambar ), tidak salah sekiranya seseorang artis mengikuti perkembangan politik dan memberikan pandangan dalam hal itu.

Bagaimanapun, untuk berbuat demikian, katanya, ia perlulah mengambil kira kaedah penyampaian yang tepat.

“Semuanya berbalik kepada budaya dan perlu menyuarakan pendapat itu dengan berlapik supaya tidak menyinggung mana-mana perasaan.

“Artis adalah orang berpengaruh. Justeru mereka kena bijak dalam menyampaikan buah fikiran,” katanya.

Melemahkah semangat

Jelas Ghaz, 41, sekiranya ada antara artis yang ingin membabitkan diri dalam parti politik, itu terpulang kepada hak masing-masing.

“Saya sendiri tidak mahu menyertai mana-mana parti politik kerana tidak mahu mencampuradukkan perkara ia dengan kerjaya.

“Sekiranya ingin membabitkan diri dalam bidang politik, ada baiknya menjadikan ia sebagai kerjaya terus,” katanya.

Malah, kata Ghaz, senario semasa dalam negara juga menimbulkan perasaan kurang enak pada dirinya.

“Saya bersedih dengan situasi yang berlaku dalam negara, itu saja yang boleh dikatakan.

“Jika difikirkan, perkara yang berlaku turut membabitkan rakyat dan secara tidak langsung ia melemahkan semangat untuk hidup.

“Saya berharap keadaan akan pulih kerana kita adalah serumpun dan hidup dalam satu negara sama,” katanya.

Lihat Komen