malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Semangat 'drummer kental' Yazid Search
ADS

Berbanding sesetengah kumpulan, kumpulan Search ternyata bertahan selama 35 tahun ekoran setiap seorang berperanan menjaga baik hubungan sesama anggotanya.

Band yang ditubuhkan sejak 1981 itu pernah melalui pasang surut dan suka duka dalam industri namun momentum Search sebagai sebuah kumpulan dilihat tidak pernah gagal.

Situasi itu boleh dilihat apabila Konsert Ulang Tahun Ke-35 Search pada 9 April ini menyediakan segmen khas buat pemain dram mereka Yazid Ahmad.

Yazid, 54, menderita masalah buah pinggang dan pernah terlantar di Hospital Ampang kerana sakit pada Ogos tahun lalu.

Dan malam tadi, Yazid - meskipun badannya kelihatan susut dan bertongkat untuk berjalan - hadir bersama-sama menjayakan sidang media pengumuman konsert berkenaan di Subang.

Bila ditanya mengenai perasaan tidak dapat beraksi lagi sepenuh masa di atas pentas, ini jawapan Yazid: "Saya masih hendak berkarya. Belum tiba masa untuk melepaskan peranan saya sebagai pemain dram dalam Search."

Membuktikan kesungguhan dan semangatnya, Yadiz berkata kepada Malaysiakini , dia memikirkan kumpulan legenda itu pada setiap malam kerana di situlah perjuangannya berlangsung selama ini.

Tanpa ubat, senaman agresif

Pada masa sama, Yazid memberitahu keadaan kesihatannya menunjukkan perkembangan positif.

Dia juga dan terharu apabila dimaklumkan peminat sering mendoakan kesihatannya selepas keuzuran dialami sebelum ini mendapat liputan media.

"Saya terkejut dengan doa dan sokongan peminat.

"Itu adalah satu penghormatan buat saya," katanya.

Sebagai persediaan untuk beraksi di atas pentas tidak lama lagi, Yazid melakukanya dengan cara tersendiri - tanpa 'ubat' mahupun senaman yang agresif.

"Untuk konsert, setiap hari saya katakan pada diri sendiri: Aku sihat, aku sihat.

"(Kaedah) ini diajar oleh doktor. Apabila bangun tidur, tengok cermin dan cakap pada diri sendiri dan yakinkan diri sendiri bahawa kita sihat.

"Jangan biarkan mental mempengaruhi fikiran hingga membuatkan diri berasa tidak sihat," katanya.

Kata Yazid, dia tidak mahu penyakit yang dihidapi membuatkan semangatnya hilang.

"Apa yang ada saya kena terima dan hadapi.

"Ia datang dari Allah, dan biarlah saya yang berusaha.

"Saya tidak mahu mengalah sebelum berjuang," katanya.

Lihat Komen