malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
7 filem silam inspirasi Star Wars Lucas
Diterbitkan:  Nov 27, 2015 1:37 PM
Dikemaskini: 5:46 AM
ADS

Menjelang tayangan perdana filem Star Wars: The Force Awakens bulan depan, pelbagai cerita muncul di media massa mengenainya.

Salah seorang kolumnis yang juga anggota kumpulan pengkritik filem London, Tim Robey, tidak ketinggalan berminat kepada Star Wars.

Pada pengamatan Robey, ada 10 filem yang memberi ilham dan pengaruh kepada siri Star Wars ciptaan George Lucas itu. Berikut adalah pendapat beliau:

Flash Gordon (1936)

Watak komik ilham Alex Raymond ini mula diterbitkan pada 1934 dan beberapa tahun kemudian menjadi siri filem menampilkan jaguh renang Buster Crabbe sebagai hero.

Lucas cuba mendapatkan hak untuk menerbitkan filem itu namun gagal. Ia mendorongnya menghasilkan filem Star Wars dengan sedikit sebanyak pengaruh daripada Flash Gordon .

Antaranya Cloud City dalam Empire Strikes Back, konflik antara pemberontak dengan tentera maharaja serta bentuk kapal angkasa yang digunakan.

Cara teks pembukaan penceritaan Lucas yang terkenal itu juga dikaitkan dengan Flash Gordon .

The Hidden Fortress (1958)

Lucas juga melihat kepada filem epik Akira Kurosawa sebagai ilham. Dalam filem Kurosawa itu, ia menceritakan bagaimana seorang jeneral dan puteri raja berjuang dari dalam kawasan musuh pada zaman feudal Jepun dengan bantuan dua orang petani.

Ia didakwa memberi inspirasi kepada Lucas mencipta robot C-3PO dan R2-D2 yang kadang-kadang bertindak sebagai tukang lawak.

Selain Hidden Fortress, Lucas juga terpengaruh dengan dua lagi filem Kurosawa, iaitu babak pergaduhan dalam Yojimbo (1961) serta teknik bersembunyi dipaparkan dalam Sanjuro (1962).

Tidak ketinggalan – ditampilkan dalam The Empire Strikes Back – ialah ilham dari Derzu Uzala (1975).

The Searchers (1956)

Filem arahan John Ford dan lakonan John Wayne ini juga mempunyai pengaruh kepada Lucas. Misalnya rumah ladang di tengah gurun yang ranap terbakar, serta bagaimana seorang budak naif yang membesar di kawasan pertanian akhirnya menjadi wira.

Plot memaparkan seorang bapa yang tegas menjadi ganas kerana membalas dendam mucul pada watak Anakin, Darth serta Obi-Wan.

Ia membuktikan bagaimana karya Ford meninggalkan kesan besar pada Lucas.

The Adventures of Robin Hood (1938)

Lihat babak pertarungan dengan pedang laser dalam Star Wars. Ia mengingatkan kita kepada aksi Errol Flynn dipaparkan Michael Curtiz dan William Keighley dalam filem Robin Hood, terutama yang membabitkan gerakan akrobat.

Rambut Puteri Leia pula mengingatkan kita kepada penampilan Olivia de Havilland yang memilih gaya itu pada 77 tahun lalu.

Lawrence of Arabia (1962)

Tiada pihak yang begitu berjaya mempengaruhi pendekatan visual Lucas seperti David Lean. Begitu juga paparan watak yang dirakam dari jarak jauh di kawasan tandus menyamai pendekatan dipilih Lean dalam Lawrence of Arabia.

Sama juga dengan temanya. Kedua-dua filem menzahirkan cerita perjuangan mencari kebebasan dan pada ketika sama laluan itu diganggu oleh politik serta ahli politik.

Dalam Attack of the Clones, Lucas merakam babak dialog antara Padme, Anakin dan R2-D2 di Plaza de Espana di Seville. Lokasi sama sudah digunakan Lean lebih awal, iaitu dalam filem terbitan 1962 itu.

Begitu juga cara babak itu ditamatkan. Melalui Lawrence of Arabia, Lean memaparkan Claude Rains, Jack Hawkins dan Anthony Quayle bergerak ke arah kamera sambil bercakap, manakala Lucas menggunakan Padme, Anakin dan R2-D2.

Casablanca (1942)

Bandar Mos Eisley dalam Star Wars sebenarya adalah Casablanca. Rick’s Cafe pula menjadi Cantina. Humphrey Bogart pula mungkin model paling penting untuk Harrison Ford membawakan watak Han Solo.

Han Solo menuntut bayaran 15,000 kredit apabila Luke Skywalker dan Obi-Wan Kenobi tiba di kawasan selamat mereka. Dalam Casablanca, kadar bayan yang dikenakan untuk orang yang ingin keluar dari kawasan itu pula 15,000 franc.

Jabba The Hutt mungkin ciptaan asli Lucas tetapi ia mengingatkan penonton kepada Sidney Greenstreet yang membawa watak pemilik kelab malam dalam Casablanca , Signor Ferrari.

The Wizard of Oz (1939)

The Jawas adalah jelmaan semula Munchkin, manakala C3PO kewujudan semula Tin Man. Chewbacca? Ia adalah gambaran longgar Cowardly Lion dalam filem arahan Victor Fleming itu. Toto pula tidak banyak beza dengan R2-D2.

Lihat Komen