malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Magis Freeman 'hilang' dalam Momentum
Diterbitkan:  Nov 26, 2015 2:27 PM
Dikemaskini: 8:16 AM
ADS

Membawa imej sebagai pelakon kelas A, filem terbaru Morgan Freeman bagaimanapun mencadangkan kegemilangannya mungkin sedang malap.

Lakonan terbaru Freeman dalam Momentum mula ditayangkan di United Kingdom hujung minggu lalu tetapi hanya menarik minat segelintir orang.

Filem thriller aksi itu diarah oleh sutradara baru, Stephen Campanelli dan hanya memungut jumlah jualan tiket sebanyak £46 (RM294) pada hari pertama tayangannya.

Sebagai perbandingan, filem itu menelan belanja £20 juta (RM127.75 juta) untuk disiapkan.

Bagaimanapun, untuk menghukum prestasi filem itu, faktor ini perlu diambil kira: Ia hanya ditayangkan di 10 pawagam terpilih di seluruh Britain.

Daripada jumlah itu dua pawagam langsung tidak mencatat jualan tiket sama sekali.

Momentum versi muat turun digital turut dilancarkan serentak dengan tayangan di pawagam berkenaan.

Menggunakan latar Afrika Selatan, Momentum bercerita tentang rancangan rompakan berlian yang gagal.

Filem itu turut menampilkan bekas gadis Bond, Olga Kurylenko ( Quantum of Solace ) sebagai watak utama, Alex Farraday.

Cerita kemudian berkembang mengenai cubaan pembunuh upahan melangsaikan tugasnya menamatkan riwayat Alex.

Freeman pula membawa watak senator AS yang kaki rasuah.

Jangan ada sambungan lagi

Laporan media mendakwa dia bersetuju membintangi filem berkenaan kerana ingin membantu Campanelli.

Walaupun Momentum adalah filem pertama Campanelli, dia sebenarnya bukan orang baru dalam industri perfileman.

Dia pernah bertugas sebagai pengarah kamera dan bekerjasama dengan Clint Eastwood menyiapkan filem seperti Gran Torino, Mystic River, Million Dollar Baby dan Midnight in the Garden of Good and Evil.

Pengkritik filem untuk The Guardian, Benjamin Lee, berkata lakonan Freeman dalam Momentum adalah kemunculan terburuk pernah dilakukannya.

"Pada babak terakhir filem itu Freeman begitu angkuh, menyebabkan plot Momentum tergantung bagi membolehkan ia disambung - dan diharap ia tidak menjadi kenyataan," katanya.

Ali Plumb yang menulis untuk majalah Empire berpendapat, Freeman, Olga dan seorang lagi pelakon utama Momentum, James Purefoy boleh mempersembahkan aksi jauh lebih baik dalam filem berkenaan.

"Dengan apa yang ada, Momentum adalah salah satu filem paling buruk yang perlu anda jauhi pada 2015," katanya.

Lihat Komen